UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Anugerah Dekan STHEM tingkat motivasi pelajar

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Aida Rasyidah Ahmad Muaen

Gambar STHEM/UUM Today

SINTOK, 6 Februari – Seramai 94 pelajar dari Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diraikan dalam Majlis Anugerah Dekan STHEM Semester Kedua Sesi 2022/2023 di Dewan Kuliah Gugusan (DKG) 8/1.

Daripada jumlah itu, sembilan daripadanya adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan (BTM), 31 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti (BHM) dan 54 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara (BEM).

Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), Dr. Siti Noormala Jailani berkata, majlis seumpama ini adalah satu inisiatif yang patut diteruskan bagi meningkatkan motivasi dalam diri pelajar serta meningkatkan semangat pelajar agar lebih fokus dalam bidang akademik.

“Majlis tersebut merupakan inisiatif bagi pengiktirafan pencapaian dan sumbangan kepada 94 orang pelajar STHEM diatas kecemerlangan dalam bidang akademik.

“Pelajar pada masa kini perlulah mencapai kecemerlangan yang seiring dalam bidang akademik dan kokurikulum agar tidak ketinggalan dalam era teknologi yang semakin melonjak naik,” katanya mewakili Dekan STHEM, Prof. Madya Dr. Johan Afendi Ibrahim.

Menurutnya, Anugerah Dekan semata-mata tidak cukup dalam memberikan kekuatan diri kepada para pelajar dalam menempuh alam pekerjaan yang jauh lebih mencabar.

Katanya, gunalah peluang yang ada dengan sebaik-baiknya untuk meningkatkan kemahiran diri, membangunkan sahsiah serta menyumbang kepada masyarakat sekeliling sesuai dengan moto UUM iaitu Ilmu, Budi, Bakti.

Beliau turut menegaskan fokus utama UUM adalah untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai nilai tambah yang mampu menyumbang kembali kepada agama, bangsa dan negara.

“Semua pelajar diharapkan agar merealisasikan aspirasi pendidikan negara dan memacu STHEM dan UUM ke peringkat yang disegani dan dihormati,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Program Pengurusan Hospitaliti, Dr. Nurul Syazana Hishamuddin; Pengerusi Program Pengurusan Pelancongan, Dr. Foo Yen Sin; Pengerusi Program Pengurusan Acara, Suryati Abd Shukor; Pengerusi Program Pascasiswazah; Dr. Asmahany Ramely dan barisan pensyarah serta staf pentadbiran STHEM.