UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang milik Nurafrina

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Pulau Pinang: Nurafrina Abd. Aziz, 23, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang (ASNPP) 2023 yang berlangsung di Seberang Jaya, baru-baru ini.

Kejayaan ini melayakkannya membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000 dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar.

ASNPP merangkumi tiga kategori seperti Anugerah Sasterawan Negeri Pulau Pinang, Anugerah Khas dan Hadiah Sastera (Hadiah Sasterawan Bukan Melayu, Hadiah Sasterawan Muda, Hadiah Sasterawan Harapan, Hadiah Cekal Sastera dan Hadiah Ketua Panel Juri Penilai).

“Saya amat bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan. Ini merupakan suatu kejayaan yang paling manis, memandangkan peserta yang lain hebat-hebat belaka dan saya tidak sangka saya salah seorang daripada 11 penerima anugerah tersebut,” luahnya pada majlis yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) yang sering memberi sokongan dan galakan untuk terus menghasilkan karya bermutu seterusnya membanggakan UUM.

Pelajar Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif (BCLCIM) dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, memenangi anugerah dalam Kategori B: Karya Eceran, Puisi menampilkan karya berjudul ‘Firdaus Anak Maghribi’ yang telah diterbitkan dalam majalah Tunas Cipta pada tahun 2022.

Firdausi Anak Maghribi menceritakan tentang seorang kanak-kanak bernama Rayan yang baru berusia 5 tahun terjatuh ke dalam sebuah perigi pada kedalaman 32 meter. Puisi ini telah menceritakan detik-detik cemas yang dilalui oleh mereka yang terlibat dalam operasi menyelamatkan adik Rayan. Walaupun Operasi mengeluarkan Rayan telah berjaya, namun Allah lebih menyayanginya.

“Sebagai pelajar BCLCIM, para pensyarah sentiasa memberi dorongan kepada para pelajar program ini untuk menghantar karya ke wadah yang telah tersedia untuk penulis.

“Hasilnya, ramai pelajar BCLCIM yang berjaya menerbitkan karya di bawah majalah keluaran DBP sekali gus menjadi batu loncatan buat pelajar ke arah menjadi penulis yang lebih dikenali dalam bidang penulisan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, bidang pengajian yang diambil terbahagi kepada dua major iaitu Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif.

“Apabila kita mempelajari major pertama, iaitu sastera kesusasteraan kontemporari, kita bukan sahaja mempelajari tentang penulisan kreatif semata-mata tetapi juga mendalami teori yang wujud dalam dunia kesusasteraan.

“Jadi, dengan adanya penghasilan karya daripada pelajar, ia telah membuktikan bahawa pelajar telah berjaya mengaplikasikan pembelajaran tentang penulisan kreatif. Berbeza pula dengan pengurusan industri kreatif, pembelajaran major kedua ini lebih ke arah praktikal.

“Walaupun ada juga ilmu teori yang perlu dikuasai, namun ilmu praktikal itu lebih diterapkan dalam subjek yang dipelajari. Akhirnya, pelajar BCLCIM akan menjadi graduan yang mahir dalam kedua-dua ilmu iaitu ilmu teori dan praktikal yang dilihat amat penting untuk digunakan di alam pekerjaan nanti,” ujarnya.

Beliau meletakkan harapan yang tinggi untuk mahasiswa BCLCIM yang baharu, iaitu yang bakal memulakan pengajian pada sesi 2023/2024, agar berjinak-jinak dalam dunia penulisan bagi memastikan dunia sastera di negara kita akan terus mekar, segar dan bewarna-warni apabila golongan muda terus menghasilkan karya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, SLCP, Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid berkata, ASNPP mengiktiraf sumbangan penulis dan karyawan Negeri Pulau Pinang dalam dunia penulisan.

“Di sinilah penulis menguji daya kreativiti dan kekuatan pemikiran dalam berkarya yang menyaksikan pelbagai kategori dalam sastera untuk menyampaikan mesej positif. Anugerah sastera bukan untuk orang bahasa atau orang sastera sahaja, sebaliknya terbuka kepada sesiapa yang berminat mencuba bakat.

“Melalui kemenangan mahasiswa UUM dalam ASNPP diharap dapat membuka mata warga UUM tentang kegiatan pelajar SLCP dalam menghasilkan karya sastera,” katanya.