UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Apa Khabar Kuala Muda: SAPSP UUM santuni komuniti sekitar

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar SAPSP/UUM Today

KUALA MUDA, 14 Januari – Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program komuniti iaitu program Apa Khabar Kuala Muda: Semai Bakti Menuai Budi di Kuala Muda, baru-baru ini.

Pensyarah Kursus SSKC3733 Kaunseling Komuniti, Syaliza Adiha Tewiran berkata, program ini melibatkan warga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda dan sekitar taman berhampiran dan perkampungan laut di Kota Kuala Muda. 

Menurutnya, program ini merupakan sebahagian program yang mendasari agenda universiti iaitu Program Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) dan Program Service-Learning University for Society (SULAM) yang melibatkan 68 UUM termasuk 10 pelajar mobiliti tidak berkredit daripada Universiti Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Acheh, Indonesia.

“Matlamat program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan kemahiran yang telah dipelajari selama ini dengan mendekati komuniti sekolah dan masyarakat setempat.

“Program ini juga memberi peluang kepada UUM untuk membina kesejahteraan rakyat melalui sumbangan kepakaran kepada komuniti setempat,” katanya.

Program yang berkonsepkan intervensi sosial dan komuniti ini menggabungkan pelbagai aktiviti yang melibatkan penyertaan daripada warga SAPSP, warga SMKKKM, ibu bapa pelajar, ahli komuniti setempat dan badan NGO iaitu MyFundAction.

Antara aktiviti yang menarik yang diadakan ialah program bersama pelajar sekolah, aktiviti kerohanian, gotong royong perdana dan sukaneka bersama komuniti setempat di Dataran Tsunami.

Melalui program ini juga, SAPSP dengan kerjasama MyFundAction telah menyerahkan bantuan keperluan asas iaitu pakej Kotak Rezeki Ummat kepada keluarga angkat yang terlibat dan komuniti sekitar yang berjumlah lebih 300 orang.  

Program ini turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Md Zawawi Abu Bakar, Dekan SAPSP,  pensyarah SAPSP, wakil MyFundAction dan Penghulu Mukim Kuala. – Syaliza Adiha Tewiran