UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

‘Aram Sei Deepavali’ MPP UUM sinari sambutan Deepavali

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar MPP UUM/UUM Today

JITRA: Bagi menyinari sambutan Deepavali yang bakal disambut tidak lama lagi oleh masyarakat beragama Hindu, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) telah menganjurkan ‘Aram Sei Deepavali’, Jumaat lalu.

Setiausaha Pentadbiran MPP UUM, Khausalya Chandran berkata, ‘Aram Sei Deepavali’ merupakan acara yang dirancang dengan teliti, bertujuan untuk memberi khidmat kepada masyarakat setempat, pelajar UUM dari kategori B40 dan kanak-kanak kurang berkemampuan bagi menunjukkan semangat sebenar Deepavali iaitu perayaan cahaya.

Menurutnya, apa yang membezakan acara ini ialah kepentingan nasionalnya yang besar dan memupuk semangat kesukarelawanan yang berfungsi sebagai batu loncatan untuk pembangunan komuniti.

“Program ‘Aram Sei Deepavali’ berdiri sebagai bukti kuasa komuniti, perpaduan dan kebaikan di mana ia menunjukkan bagaimana sekumpulan kecil individu yang berdedikasi boleh memberi impak yang besar dan meninggalkan warisan kasih sayang dan perkhidmatan kepada komuniti.

“Kejayaan acara ini mengingatkan bahawa Deepavali bukan sekadar perayaan cahaya tetapi juga perayaan memberi, belas kasihan dan harapan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Tambahnya lagi, menjelang Deepavali, semoga kemesraan dan kemurahan hati ‘Aram Sei Deepavali’ memberi inspirasi kepada semua untuk berkongsi cahaya harapan, kasih sayang dan muhibah dengan mereka yang memerlukan.

Sempena ‘Aram Sei Deepavali’ itu, MPP UUM menyediakan bakul makanan dan sumbangan kepada 15 kanak-kanak kurang berkemampuan, sumbangan berjumlah RM2,000 kepada pelajar India UUM dari golongan B40 dan sumbangan sebanyak RM500 kepada Kuil Arulmigu Sri Murugan, Jitra.

Sukarelawan acara ‘Aram Sei Deepavali’ turut membantu membersih dan mengindahkan keseluruhan premis kuil, menunjukkan rasa hormat mereka terhadap budaya dan warisan tempatan.