UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Asasi UUM miliki Youtube rasmi dan kiosk keusahawanan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Asasi Pengurusan/UUM Today

SINTOK: Menjelang 2024 yang bakal tiba, Pusat Asasi Pengurusan (PAP), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus melakukan transformasi bagi kekal relevan dalam menghasilkan pelajar yang berkualiti.

Pertama, PAP telah mewujudkan Kiosk Keusahawan dan kedua, akan mewujudkan saluran Youtube rasmi PAP agar sejajar dengan agenda pendigitalan UUM dan perkembangan PAP yang bakal menginjak usia genap 10 tahun pada tahun hadapan.

Pengarah PAP, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman berkata, beliau berterima kasih kepada Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) UUM yang sudi bekerjasama dengan PAP untuk menjayakan dua agenda besar tersebut.

Menurutnya, usaha yang baik ini mampu dijadikan batu loncatan dalam melahirkan pelajar PAP bukan sahaja berdaya saing dalam dunia profesional malah mampu mencipta peluang-peluang pekerjaan kepada industri pada masa hadapan.

Justeru, kata beliau, pelajar asasi harus manfaatkan peluang ini dengan meningkatkan kompetensi diri dalam aspek digitalisasi dan keusahawanan.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Kiosk D’Hauuss Station dan saluran Youtube rasmi PAP iaitu Asasi Chronicles Studio, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah CEDI, Dr. Hasnizam Hassan, berharap agar pengalaman mengendalikan aktiviti keusahawanan di peringkat Asasi dapat membantu pelajar memperkasakan lagi ilmu keusahawanan di peringkat pengajian sarjana muda kelak.

“Ramai lepasan asasi UUM telah berjaya menjadi usahawan hebat sehingga mampu memasarkan produk ke beberapa buah negara.

“Justeru, CEDI berbesar hati untuk menawarkan pelbagai bantuan dalam memenuhi keperluan PAP dalam melicinkan usaha ini seperti Inkubator Usahawan dan juga studio khas untuk usahawan-usahawan PAP bersiaran secara langsung dalam mempromosikan produk-produk mereka,” katanya. – Muhammad Shahrull Irfan Md Shukri