Sintok: Keselamatan manusia pada hakikatnya memerlukan pendekatan yang inklusif dan saksama bukan sahaja melibatkan kerajaan malah penyertaan secara kolektif organisasi masyarakat, swasta, institusi antarabangsa dan ahli akademik.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Shahimi Mohtar berkata, kerjasama aktif merentas sektor adalah penting untuk memastikan penggubalan dasar dan penglibatan komuniti yang menangani pelbagai keperluan dan aspirasi.
Jelasnya, dari perspektif keselamatan manusia, menyelesaikan isu keselamatan memerlukan penglibatan dan persefahaman bersama dari peringkat akar umbi, dengan individu dan kumpulan sosial.
“EU melalui European Security Strategy (ESS) menubuhkan doktrin keselamatan manusia, memperluaskan konsep ini melangkaui ESS dan ke dalam strategi Indo-Pasifik EU yang memerlukan kerjasama dan pertimbangan daripada semua pemegang taruh.

“Adalah diharapkan dengan menyepadukan paradigma keselamatan manusia dalam strategi Indo-Pasifik EU boleh membawa ke arah meningkatkan kesedaran serantau, meredakan ketegangan serantau dan memudahkan objektif EU untuk memelihara kestabilan global.
“Dalam jangka panjang, kita semua mencari perkongsian yang lebih saksama dan mampan antara EU dengan negara di rantau ini. Melangkaui sokongan kewangan, pendekatan baharu itu menekankan kepada pembinaan kapasiti melalui pembangunan sistem penjagaan kesihatan dan pengurangan risiko bencana,” ujarnya.
Manakala dalam konteks Asia Tenggara, kita juga mesti mengiktiraf kepentingan penyelesaian yang dipacu komuniti. Rantau ini mempunyai komuniti berdaya tahan yang telah berkembang maju dalam keadaan yang mencabar. Dengan menggabungkan kepakaran tempatan dan melibatkan diri dengan organisasi akar umbi, kita boleh membangunkan strategi mengikut budaya dan relevan dari segi konteks.

Jelasnya, dialog ini bertujuan menangani isu penting yang menjejaskan keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan semua individu di samping meneroka cara terbaik untuk meningkatkan kerjasama, berkongsi amalan terbaik dan cara menggerakkan sumber terhad dengan berkesan.
“Kita mesti berusaha untuk mencari penyelesaian mampan yang memperkasakan komuniti tempatan, menggalakkan pembangunan inklusif, dan melindungi hak dan maruah semua individu tanpa mengira latar belakang,” ucapnya pada Indo-Pacific Dialogue @ Kedah Whither Human Security: Asean And The EU Perspectives, berlangsung di Dewan Auditorium SOIS, UUM.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada perwakilan EU di atas dedikasi dan sokongan yang diberikan untuk mempromosikan keselamatan manusia di Asia Tenggara yang memberi inspirasi, nilai-nilai belas kasihan, keamanan dan perpaduan.
Program tersebut dianjurkan oleh Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Pusat Pengajian Pengkomputeran (SoC) dengan kerjasama Centre for ASEAN Regionalism Universiti Malaya (CARUM), Asia-Europe Institute (AEI) dengan kerjasama Kedutaan Kerajaan Belanda di Malaysia (Embassy of the Kingdom of the Netherlands in Malaysia) dan Delegasi Eropah di Malaysia.