Gambar MFL
KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan dua stesen televisyen terkemuka tempatan iaitu Astro dan RTM akan menjadi rakan penyiar rasmi Liga Malaysia (Liga M) 2023.
Pembabitan Astro dan RTM ini bakal menjanjikan siaran perlawanan serta liputan yang lebih komprehensif bagi Liga M musim ini demi kepuasan tontonan peminat tanah air.
Semua perlawanan yang akan disiarkan oleh Astro dalam definisi tinggi (HD) meliputi Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia boleh di tonton di platform linear (TV), On Demand dan Astro GO.
Manakala RTM pula akan menyiarkan secara langsung 75 perlawanan Liga Malaysia 2023 merangkumi beberapa saingan termasuk Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia menerusi saluran TV2, Sukan RTM dan TV Okey serta penstriman langsung melalui aplikasi RTMKlik.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menyifatkan kehadiran Astro dan RTM bakal menambah kemeriahan musim baharu Liga M yang akan bermula 24 Februari ini dengan aksi pembuka tirai Perlawanan Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim F.C (JDT) menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim.
“Saya percaya dengan sokongan dan komitmen rakan penyiar tempatan, ia bukan hanya demi kepuasan kualiti tontonan peminat sukan tanah air, malah ia dapat meningkatkan nilai komersial Liga M yang akhirnya akan memberikan pulangan besar buat pasukan serta pemain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, gandingan Astro dan RTM selaku rakan penyiar liga musim ini bakal memenuhi kehendak peminat-peminat tempatan yang mendambakan satu liputan menyeluruh dan menarik.
“MFL yakin dua rakan penyiar ini berkongsi objektif dan fokus mengenai kandungan yang penting. Jadi, kami menemui rakan kongsi terbaik untuk membina semula jenama dan impak Liga M ke tahap lebih tinggi.
“Dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki Astro dan RTM dalam bidang penyiaran sukan, kami berharap ia dapat memenuhi jangkaan dan harapan semua peminat,” katanya.