SINTOK: Audit Pematuhan Status Swaakreditasi Universiti Utara Malaysia (UUM) 2023 yang berlangsung tiga hari bermula semalam.
Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, Audit Pematuhan Status Swaakreditsi bertujuan memastikan UUM telah melaksanakan tanggungjawab untuk mengakredit sendiri program pengajian berpandukan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) serta standard dan ketetapan oleh pihak MQA dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Jelasnya, bermula pada 2017 setelah UUM diberi kepercayaan untuk mengakredit sendiri program pengajian, kini terdapat 133 program pengajian UUM yang telah disenaraikan dalam Portal Daftar Kelayakan Malaysia(MQR).

“UUM sentiasa bersikap terbuka terhadap apa jua cadangan dan teguran yang dikemukakan oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysian (MQA) bagi tujuan penambahbaikan pelaksanaan akreditasi program pengajian di UUM.
“Saya mengharapkan komitmen penuh daripada semua agar dapat memberikan kerjasama kepada pasukan panel auditor MQA sepanjang tiga hari audit ini berlangsung,” ucapnya pada Mesyuarat Pembukaan Audit Pematuhan Status Swaakreditasi Universiti Utara Malaysia (UUM) di Bilik Mesyuarat Senat.
Dr. Mohd Foad turut mengucapkan selamat datang kepada semua Ahli Panel Penilai dan Pegawai MQA bagi menjalankan audit di UUM secara fizikal. Audit bagi kampus cawangan UUM Kuala Lumpur telah berlangsung pada 16 Jun yang lalu di UUMKL.

Audit yang dikendalikan oleh Unit Jaminan Akreditasi dan Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) itu dibarisi Ketua Auditor Panel Penilai MQA Prof. Dr. Hazman Shah Abdullah, Ahli Panel Penilai; Pegawai Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan UUM.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Shahimi Mohtar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dr. Russayani Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.