Sintok – Warga Universiti Utara Malaysia (UUM) diminta ucapkan salam dan lebarkan senyuman ketika berada di kampus.
Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, ucapan salam dan senyuman itu kunci kepada kesatuan hati dan permulaan kepada keakraban dalam kalangan staf dan pelajar di universiti ini.
“Sekiranya kita menyampaikan salam dan melebarkan senyuman pastinya orang lain juga akan senyum kembali dan melahirkan suasana yang menyeronokkan,” ujar beliau ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Staf dan Pelancaran UUM FIT Merdeka di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.

Di majlis yang sama beliau turut merasmikan UUM Steps Challenge yang mengalakkan warga kampus mengamalkan aktiviti sihat, ceria dan produktif.

Prof. Dr. Haim Hilman (tengah) menyampaikan poster UUM STEPS Challenge kepada Pengarah Pusat Sukan UUM Mohd Nizar Ahmad Padzi (kiri).
Bagi memastikan universiti ini bebas daripada penggunaan plastik pula, beliau memohon kerjasama dari semua pengusaha kafeteria dan premis agar digantikan dengan bahan gantian lain sebagai alternatif bagi mengurangkan pencemaran daripada sumber tersebut.
“Mungkin kita boleh mengambil contoh laporan wartawan dari Discover Magazine yang menyebut tentang sebuah kampung kecil, Kampung Mawlynnong di India, sebagai kampung paling bersih di Asia,” sambung beliau lagi.
Dari botol plastik dan pembungkus yang dibuang sehinggalah najis lembu yang mengotori jalan-jalan utama, penduduk di situ telah membersihkan setiap inci kampung mereka sehingga mendapat gelaran kampung terbersih di seluruh Asia.
Dalam konteks ini, beliau yakin warga UUM pasti lebih komited kerana persekitaran kampus yang hijau dan indah pasti membuatkan mereka mahu melihat universiti ini juga menjadi contoh nanti.
