PUTRAJAYA: Ada apa pada 30 Ogos yang bakal menjelang tidak beberapa hari lagi?
Sudah pasti khususnya penjawat awam ternanti-nanti apakah yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob pada tarikh berkenaan yang dikhabarkan bakal membawa berita gembira.
Ismail berkata, kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajuinya sentiasa menghargai sumbangan dan pengorbanan penjawat awam termasuk pasukan keselamatan di bawah kepimpinan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menurutnya, pelbagai agensi kerajaan sentiasa bersiap siaga dan bertugas tanpa penat lelah serta penuh dedikasi tatkala negara dilanda musibah dan kesusahan seperti banjir besar yang melanda tanpa diduga.
“Sebagai penghargaan ini juga, Insya-Allah, kita akan umumkan sesuatu yang akan menggembirakan penjawat awam pada 30 Ogos ini sempena Majlis Amanat Perkhidmatan Awam.
“Tunggulah kerana saya juga sedang memikirkannya,” ujar beliau ketika berucap merasmikan Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), kelmarin.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan yang berkorban jiwa raga dan nyawa ketika negara dilanda pandemik Covid-19 demi menyelamatkan mangsa wabak tersebut.