Jika dahulu, pembayaran dilakukan menggunakan wang fizikal termasuk pembayaran bil tertentu di kaunter-kaunter sebelum kewujudan perbankan internet.
Seiring dengan perkembangan dunia digital, kaedah transaksi pembayaran juga semakin memudahkan setiap pengguna dengan hanya perlu mengakses akaun pemilik dan pembayaran boleh dilakukan tanpa sebarang masalah.
Terbaru, syarikat peneraju teknologi, Apple telah melancarkan kaedah pembayaran Apple Pay di negara ini setelah ia dilaksanakan di 60 negara lain seluruh dunia.

Kini, pengguna boleh melakukan transaksi menggunakan Apple Pay di semua peranti seperti iPhone, Apple Watch, iPad dan Mac dengan lebih mudah dan cepat tanpa perlu memasukkan berkali-kali butiran diri, malah ianya lebih selamat khususnya untuk pembayaran pembelian rutin seperti barangan keperluan asas tanpa mempamerkan kad fizikal.
Naib Presiden Apple Pay dan Apple Wallet, Jennifer Bailey berkata, kaedah pembayaran berkenaan menawarkan transaksi sangat mudah kepada pengguna dan ciri-ciri keselamatan yang sentiasa menjadi keutamaan.
“Kami fikir pengguna akan menyukai kemudahan dan keselamatan menggunakan Apple Pay, justeru kami amat berbesar hati membawa aplikasi tersebut ke Malaysia.
“Pelanggan di negara ini akan mendapat menfaat daripada penggunaan Apple Pay dengan sokongan bank, pedagang dan aplikasi kegemaran pelanggan kami ini,” katanya.
Nombor kad kredit dan debit tidak disimpan di dalam peranti atau pelayaran Apple, sebaliknya, ia akan memberi ‘Nombor Akaun Peranti’ yang unik. Malah, jika berlaku kehilangan peranti pintar, iPhone, pengguna boleh menggunakan kefungsian mencari peranti ‘Find My iPhone’ serta meletakkan mod ‘hilang’, sekali gus pengguna boleh menjejaki peranti dan menyekat semua transaksi sekiranya ada.
Untuk pengguna di Malaysia, setakat ini hanya tiga institusi perbankan menikmati kaedah pembayaran baharu tersebut iaitu Maybank, AmBank dan Standard Chartered.

Bagi menggunakan perkhidmatan Apple Pay ini, pengguna hanya perlu mendekatkan peranti pintar seperti iPhone atau Apple Watch dengan terminal transaksi untuk melakukan pembayaran.
Terlebih dahulu, pengguna diminta untuk mengimbas kad kredit atau debit di dalam tetingkap disediakan sebelum kod keselamatan OTP dihantar kepada nombor telefon berdaftar dengan perbankan berkenaan dan mengikut langkah seterusnya sehingga perkhidmatan Apple Pay dapat digunakan.