UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Azila pecah dominasi lelaki

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Dunia lasak, penuh aksi dan cabaran sering dikaitkan dengan lelaki terutamanya dunia permotoran yang sememangnya terserlah dominasi lelaki dan jarang-jarang disertai wanita.

Namun siapa sangka kedai motosikal yang tersergam indah di Kompleks Hijau Kuning, Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar Kedah merupakan milik seorang wanita bumiputera yang bersemangat kental.

Siti Norazila Ku Azzmie, 31, memecah dominasi sebagai usahawan motosikal wanita sekali gus membuka ruang dan peluang untuk menerokai pengalaman baharu yang mencabar potensi diri. 

Graduan Diploma Pengurusan Hotel dan Katering, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin itu ingin membuktikan bahawa dia boleh berjaya dalam bidang yang biasanya dipelopori lelaki dan bangsa lain sekali gus membuktikan orang Melayu juga boleh berjaya dalam bidang permotoran.

“Memang fitrah wanita tidak sekuat lelaki tetapi dengan akal yang Allah beri kita boleh menguasai ilmu dan kemahiran untuk berjaya tanpa mengira jantina kerana Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan dirinya sendiri,” ujarnya.

Berkonsepkan ‘barang baik harga murah’, tidak hairanlah Azila Azmi Motor kini sedang meningkat naik.

Hala tuju syarikat yang dibangunkan sebagai inisiatif menyemarakkan lagi dunia permotoran, Azila komited menawarkan variasi model baharu yang memenuhi standard dan citarasa anak muda seperti Benelli, Yamaha, Honda, SYM dan Modenas.

Berkonsepkan barang baik harga murah, tidak hairanlah Azila Azmi Motor kini sedang meniti dari bibir ke bibir bukan sahaja rakyat Kedah malah tersebar ke negeri lain.  

“Saya jual motosikal dengan harga lebih rendah berbanding kedai lain dan menawarkan perkhidmatan mesra pelanggan, pada saya biar untung sedikit asalkan ramai yang datang, puas hati malah kami juga sedia membantu pelanggan memiliki motor secara online dan penghantaran ke seluruh Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Azila sedia membantu pelanggan memiliki motor secara online dan penghantaran ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Mengulas pembabitannya, dia mula terlibat apabila bekerja sebagai pengurus cawangan di kedai motosikal pada 2014 dari situ Azila belajar selok-belok perniagaan. 

Setelah 6 tahun bekerja menimba pengalaman dan mendapat sokongan padu majikan yang menaruh kepercayaan terhadap dirinya, Azila optimis untuk memulakan perniagaan sendiri diiringi restu suami dan keluarga tercinta.

“Pada awalnya, bila Azila beritahu mak ayah respon mereka biasalah takut Azila tak boleh urus tekanan tambahan pula ketika itu disahkan menghidap tiriod tetapi Azila tidak jadikan faktor kesihatan sebagai alasan,” kongsinya.

Tanggal 2020 melakar sejarah manis dalam lipatan hidupnya apabila berjaya melancarkan pembukaan kedai.

“Dulu saya hanya pengurus cawangan menguruskan kedai di Bertam dengan memastikan operasi berjalan lancar. Kini bila ada kedai sendiri semua perkara saya kena buat sendiri, segala masalah kena tanggung, lebih serius dan fokus dalam menguruskan perniagaan,” katanya.

Azila menawarkan variasi model baharu yang memenuhi standard dan citarasa pelanggan.

Azila turut mengakui asam garam dunia perniagaan ada pasang dan surutnya namun  tidak sesekali berputus asa, bersedia belajar perkara baharu setiap hari misalnya peka terhadap kehendak pelanggan dan mementingkan kualiti.      

Setiap bulan dia menguruskan stok yang telah ditempah oleh pelanggan pada awalnya dia sering menghadapi masalah stok daripada pengedar yang menjejaskan kepuasan pelanggan jadi sebagai solusinya Azila beralih kepada jenama lain yang mudah didapati, dan harga berpatutan. 

“Salah satu impian saya ialah menjadi pengedar sah Yamaha supaya boleh menjual dengan harga lebih murah dan tempahan motor dapat dengan segera,” katanya.

Azila berkata, selain menjual motosikal dia juga menjual aksesori motor dari jenama  hebat termasuk jaket, topi keledar dan baju malah khidmat servis dan membaik pulih motosikal juga terdapat di Azila Azmi Motor.

Atas kegigihannya, Azila dinobatkan sebagai ‘top 4’ jualan terbaik individu pada tahun 2021 yang rata-ratanya terdiri daripada kalangan lelaki. Anugerah ini juga membakar semangatnya dan menjadikannya semakin komited dan percaya wanita juga mampu berjaya dalam bidang yang dipelopori kaum adam sekiranya rajin berusaha. 

Anak kelahiran Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang ini mengakui dia jenis orang yang suka mencuba dan semangat ingin tahu sekalipun di luar bidang untuk meneroka sendiri potensi yang ada pada dirinya tanpa meletakkan sebarang had.

Menyentuh soal cabaran, Azila mengakui tanggungjawab yang dipikul lebih berat apatah lagi sudah berkahwin dan memiliki cahaya mata yang memerlukannya bijak membahagikan masa menjalankan rutin hariannya sebagai isteri, ibu dan pekerja.

“Walaupun sibuk dengan kerja, menguruskan suami dan anak namun saya bersyukur kerana suami memahami dan bertolak-ansur membantu memudahkan urusan demi masa depan bersama,” luahnya.

Berpegang teguh pada prinsip, tak hidup dek puji, tak mati dek keji mendorongnya terus melangkah ke hadapan membuktikan segalanya dapat direalisasikan jika minat diiringi dengan ketekunan pasti impian menjadi kenyataan.

“Adat manusia suka bercakap sehingga adakalanya melemahkan semangat juang jadi biar apapun orang kata, teruskan usaha, jadikan kritikan sebagai motivasi agar kita lebih kuat dan jangan harap penghargaan manusia, cukuplah reda Allah,” pesannya menutup bicara.