
CHANGLON: Pertubuhan Kebajikan Warga Pendidikan Malaysia (Pertubuhan Barakah Malaysia) menyampaikan sumbangan 111 buah Al-Quran kepada Pengurusan Madrasah Lukmanulhakeem School di Yaha dalam Wilayah Patani pada 9 Ogos 2022.
Pengerusinya Lukman Moidin berkata, sumbangan itu adalah daripada ahli pertubuhan serta rakyat Malaysia yang sentiasa menghulurkan sumbangan melalui pertubuhan ini yang bergerak bagi membantu masyarakat didalam dan luar negara.
“Bukan sahaja penerima yang gembira dengan sumbangan yang disampaikan malah penyumbang juga melahirkan kegembiraan kerana dapat menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mereka yang memerlukan melalui pertubuhan ini,” ujarnya ketika dihubungi.
Beliau yang disertai oleh Bendahari Barakah, Rafed Ismail dan beberapa ahli sentiasa menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mana-mana pertubuhan atau orang perseorangan yang memerlukan bantuan terutama golongan bekas pendidik dan sebagainya.
Katanya pertubuhan ini bergerak aktif dalam menyusun serta melaksanakan program motivasi kerjaya serta aktiviti pendidikan bagi melahirkan warga pendidik matang berwibawa serta generasi yang berkualiti sekaligus menyumbang ke arah kemajuan negara.
Bagi golongan yang memerlukan perhatian seperti Orang Kurang Upaya (OKU), asnaf, terabai dari keluarga, teraniaya, buta huruf dan sebagainya pertubuhan ini akan menggerakkan bantuan segara dengan sokongan masyarakat negara ini.
“Kami amat berharap sumbangan-sumbangan yang disampaikan ini bukan sahaja dapat membantu mereka yang memerlukan tetapi memperbanyakkan lagi golongan masyarakat yang ingin membantu tetapi tidak tahu untuk menyalurkannya,” ujarnya lagi.
Moga sumbangan Al-Quran ini dapat membantu masyarakat di Yaha Wilayah Patani ini kelak.