SINTOK: Selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan inovasi sebagai salah satu agenda utama negara dalam mentransformasikan sektor awam, Hari Inovasi & Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU 2022) berlangsung di Dewan Mua’dzam Shah, pagi tadi.
Penerima Hadiah Kecemerlangan Akademik, Dr. Mohamad Sabri Sinal @ Zainal Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengkomputeran berjaya menamatkan pengajian PhD sekali gus membawa pulang hadiah berupa insentif wang tunai sebanyak RM10,000.
“Saya bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian kedoktoran dalam tempoh kurang dari 3 tahun di Shibaura Institute of Technology, Tokyo, Jepun serta mengharumkan nama UUM apabila muncul pelajar terbaik keseluruhan majlis graduasi dan merangkul anugerah ‘Best Phd Thesis Award’.
“Saya bukanlah pelajar berprestasi tinggi semasa di sekolah hanya cukup sekadar mendapat keputusan yang memadai untuk ke peringkat diploma namun berpegang pada prinsip, langit tidak selalu gelap saya mengubah gaya hidup sehingga merangkul banyak kejayaan,” kongsinya.
Beliau menyifatkan HIMPU sebagai suatu plaform terbaik Universiti untuk menghargai usaha dan keringat setiap staf yang menjayakan agenda universiti ke tahap yang membanggakan selain menjadi mekanisme terbaik untuk merapatkan jurang perbezaan antara staf akademik dan staf pentadbiran dari semua sudut.
“Anugerah ini memberikan mesej yang jelas tentang indikasi sesebuah kejayaan itu sendiri dan menjadi kayu ukur untuk terus berjaya dengan melihat prestasi dan pencapaian,” katanya yang juga Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Korporat

Beliau juga ditawarkan melanjutkan pengajian Postdoctoral Fellowship di universiti yang sama selama dua tahun. Kini beliau menjalankan penyelidikan dalam bidang data analitik dan peramalan atau forecasting.
Beliau mengakui menempuh pelbagai onak duri sepanjang pengajian dan mahu melihat lebih ramai staf mengambil peluang yang diberikan secara serius dan tidak melihatnya secara enteng.
“Anggap setiap peluang itu hanya datang sekali dan jangan sesekali mensia-siakan peluang. Buatlah lebih dari apa yang diminta, jangan cakap pasal perjuangan, kalau takut melakukan pengorbanan,” kongsinya.
Bagi Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi, sebagai staf yang telah berkhidmat 26 tahun dan juga alumni UUM beliau percaya kecemerlangan kerjaya ini dapat dipupuk dengan semangat ‘sense of belonging’ yang tinggi kepada universiti dan kesungguhan dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan ikhlas.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada UUM di atas penganugerahan ini.
“Semoga warga kerja UUM dapat terus berusaha memberi perkhidmatan terbaik bagi memastikan universiti terus cemerlang dan menjadi kebanggaan masyarakat,” katanya yang juga Pegawai Tadbir dari Jabatan Pendaftar.
Pada majlis itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad telah menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 118 staf universiti yang terdiri daripada lapan staf pentadbiran kumpulan Pengurusan & Profesional, 71 staf pentadbiran kumpulan Pelaksana dan 39 staf Akademik serta penyampaian Anugerah Penyelidikan, Penerbitan, Pengajaran dan Pembelajaran, Inovasi dan Kualiti (APIQ) bagi tahun 2021.
Selain penyampaian anugerah berkenaan, turut dilancarkan Sambutan Bulan Kemerdekaaan Peringkat UUM. Antara tarikan sempena pelancaran itu adalah persembahan silat dan juga perarakan kibar jalur gemilang yang melibatkan pelajar dari pelbagai kaum.
Selain itu juga, pelbagai program telah disusun sepanjang bulan kemerdekaan yang akan berakhir pada 16 September nanti seperti deklamasi sajak, kempen kibar Jalur Gemilang, gotong-royong perdana, UUMFit Merdeka, Bengkel Puisi Artistik Peringkat Negeri Kedah dan Virtual Ekspresi Puisi Mahasiswa 2022 Sempena Hari Malaysia.