UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Kampung paling bersih di Asia

Samsudin Oli

Samsudin Oli

Journalist and Assignment Editor for UUMTV .

Sumber gambar: Harian Metro

Mawlynnong pertama kali menjadi tajuk berita pada tahun 2003, apabila seorang wartawan dari Discover Magazine menyebutnya sebagai ‘kampung paling bersih di Asia’.

Kampung Mawlynnong sebuah desa kecil di Meghalaya, timur laut India yang mengharamkan penggunaan plastik telah menjadi tajuk berita pada tahun 2003, apabila seorang wartawan dari Discover Magazine menyebutnya sebagai ‘kampung paling bersih di Asia’.

Penduduk di sini mempunyai sifar toleransi terhadap sampah dan menghabiskan masa mereka untuk memastikan setiap inci persegi kampung mereka itu sentiasa bersih.

Mereka telah mengharamkan penggunaan plastik manakala laluan pejalan kakinya pula bersih dan dihiasi dengan pokok bunga menarik.

Hampir keseluruhan kampung itu dijana dengan tenaga bersih, kebanyakannya tenaga suria dan menggaji sepasukan tukang kebun khas bagi memastikan bahawa bunga-bunga senantiasa cantik dan tumbuh-tumbuhannya mekar indah yang mengelilingi jalan dan lorong-lorong yang mana dijaga dengan baik.

Sehingga 2003, tiada pelawat mengunjungi perkampungan terpencil yang didiami 500 penduduk di kawasan pergunungan di negeri Meghalaya ini kerana tidak mempunyai jalan raya dan hanya boleh diakses dengan berjalan kaki.

Tempat tinggal kepada puak Khasi ini terkenal sebagai masyarakat yang mengamalkan nasab ibu yang jarang ditemui, di mana harta dan kekayaan diturunkan oleh ibu kepada anak perempuan bongsu.

Malah anak juga menggunakan nama keluarga ibu mereka.

Sejak kebelakangan ini, kampung ini mula terkenal dengan sebab lain iaitu kebersihan yang luar biasa, jauh dari kebisingan dan kekotoran seperti di bandar besar di India.

Tong sampah buluh diletakkan di setiap sudut kampung dan sukarelawan menyapu sampah di jalanan dari semasa ke semasa.

Bakul sampah buluh yang terdapat di kampung itu.

Terdapat juga papan tanda meminta pelawat tidak membuang sampah dengan mesej: “Membuang sampah amat tidak disukai”.

Mereka membersihkan kawasan ini setiap hari kerana dididik oleh datuk moyang mereka.

Kampung ini juga turut mendapat pujian Perdana Menteri Narendra Modi, yang meminta rakyat India menghapuskan imej kotor lebuh raya dan monumen di bawah kempen, India Bersih.

Kelihatan cantik pemandangan di kampung itu.

Beliau kagum bila mengetahui ada kampung di timur laut negara ini begitu bersemangat membawa misi kebersihan selama bertahun-tahun.

Dengan pencapaian kampung ini ada setengah pihak berpendapat mereka perlu mengehadkan jumlah pelawat bagi melindungi kesejahteraan penduduknya.

Mereka perlu belajar untuk mengawal bilangan pelawat dan mengatakan ‘tidak’ pada masa tertentu.

Semoga contoh dan amalan penduduk di sini menjadi ikutan penduduk dunia lain.