UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Kemiskinan ajar erti perjuangan dan pengorbanan

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

SINTOK: Seramai 700 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sintok (SMKBBS) menjayakan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Fun Run Merdeka untuk menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan.

Program Fun Run yang bermula dari SMKBBS sehingga ke Dewan Tan Sri Othman UUM dimeriahkan dengan kibaran Jalur Gemilang selain diserikan dengan ceramah motivasi yang disampaikan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah.

Dalam motivasinya, beliau membawa pelajar merenung kembali perjuangan ibu ayah yang bergelut dengan kesusahan demi masa depan anak-anak termasuk  berkongsi pengalaman semasa kecil yang diuji dengan 1001 dugaan.

Jelasnya, beliau sama seperti pelajar yang hidup susah 40 tahun yang lalu namun kemiskinan mengajar erti perjuangan dan pengorbanan yang mendorongnya berusaha gigih untuk menjadi orang berjaya sekali gus mengeluarkan keluarga dari kepompong kemiskinan.

Naib Canselor memeriahkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Fun Run Merdeka.

“Sejak kecil saya dinasihatkan apa jua yang berlaku itu takdir tuhan dan itulah erti perjuangan dari situ saya sedar diri, hanya pendidikan yang akan membawa keluar daripada kemiskinan serta mengubah nasib keluarga suatu hari nanti.

“Kalau kita pandai jangan sombong dengan ilmu yang dipinjamkan Allah, orang yang memberi lebih mulia dari yang menerima, kalau kita biasa-biasa namun berakhlak itu lebih utama kerana orang beradab lebih mulia daripada orang yang berilmu.

“Jangan biar diri hanyut dan leka dengan perkara sia-sia, jangan terpedaya dengan gajet, ketika orang lain asyik main ‘game’ ketika itulah kita belajar bersungguh-sungguh mencapai kejayaan,” kongsinya di program anjuran UUM dan SMKBBS  yang berlangsung Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.

Selain itu, untuk menjadi orang berjaya Haim Hilman turut menasihatkan agar menjaga hubungan dengan Allah, sembahyang lima waktu, taat ibu bapa dan bantu mereka bina kisah indah.

Beliau turut menasihatkan jangan sesekali buat mereka sedih kerana mereka tiada hijab dengan Allah dan apabila mereka reda, hidup kita akan berjaya.

“Untuk berjaya tidak mudah pastinya datang dengan disiplin yang tinggi, mempunyai jati diri selain sikap menghormati guru yang amat tinggi kedudukannya. Bagi guru-guru walaupun anak-anak tidak ber‘bin’kan atau ber‘binti’kan kita, namun mereka adalah penerus kelangsungan negara bangsa jadi bicaralah penuh hikmah, lihat dengan pandangan kasih sayang untuk menjadikan mereka berjaya,” pesannya.

Pelajar menyampaikan sajak sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Fun Run Merdeka.

Sementara itu, Pengetua SMKBBS, Shamsudin Aroff berkata, program Fun Run diadakan selaras dengan tema hari kebangsaan iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama yang membawa maksud kekuatan dan kesepaduan kolektif oleh keluarga Malaysia dalam mengharungi pelbagai cabaran dengan semangat sebuah keluarga.

Ujarnya, semangat ini harus disemarakkan dan dihayati agar kehidupan kita semua lebih sejahtera dalam menghadapi rintangan.

“Kita seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat negara yang berdaulat dan merdeka kerana kita dapat mengecapi kehidupan dalam suasana yang harmonis, aman serta sejahtera.

“Dengan nikmat kemerdekaan, kita lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalinkan hubungan yang secara tidak langsung membawa perpaduan kaum.

“Perkara ini suatu nikmat yang amat berharga oleh itu, nilai perpaduan perlu dipupuk dan dipelihara agar kemerdekaan dapat dipertahankan sampai bila-bila,” katanya.

Tambahnya, dalam ledakan era globalisasi ini, pelajar perlu mempunyai ketahanan mental bagi menghadapi cabaran yang membabitkan penjajahan minda oleh pengaruh asing justeru persiapkan diri dengan semangat patriotisme yang tinggi agar menjadi lebih kompetitif dan dinamik.