ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah sedia pertimbang tawaran kerjasama oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam usaha membangunkan negeri ini dalam pelbagai sektor.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau berterima kasih kepada UUM yang sudi datang ke pejabatnya untuk menawarkan khidmat dan kerjasama dengan kerajaan negeri dalam pelbagai bidang dan sektor.
Muhammad Sanusi turut berharap UUM dapat membantu memajukan sektor pelancongan negeri ini khususnya di kawasan Ulu Muda dengan menghasilkan produk pelancongan serta memperkemaskan semula infrastruktur sedia ada, selain membantu kerajaan negeri untuk mengubah nasib golongan pesawah terutama dalam meningkatkan hasil padi mereka.
Segala perbincangan dan usul yang ditawarkan itu, pada pandangan beliau sangat bermanfaat kepada kerajaan negeri, lebih-lebih lagi sumbangan UUM dari pelbagai aspek sebelum ini.
“Saya akan perhalusi setiap cadangan dan idea tersebut, malah saya berhasrat agar satu pertemuan semula diadakan dengan UUM mengikut kluster atau keutamaan.
“Saya berterima kasih kepada Naib Canselor UUM di atas tawaran yang dikemukakan dalam perbincangan hari ini (semalam) bagi membolehkan satu jalinan kerjasama dapat dilaksanakan demi kemajuan negeri ini,” katanya.

Muhammad Sanusi sekali lagi berterima kasih di atas usaha yang dilakukan UUM demi membantu kerajaan negeri Kedah dalam usaha melonjakkan negeri jelapang padi itu ke peringkat lebih tinggi lagi.
Pada pertemuan hampir dua jam di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah telah menyatakan kesudian universiti ini untuk membantu kerajaan negeri dalam pelbagai agenda.
Malah, UUM telah menerima titah Tuanku Sultan Kedah di majlis menghadap baru-baru ini agar dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengangkat negeri Kedah ke peringkat antarabangsa.
Selain itu, beliau mahu memanfaatkan kira-kira 1,200 pensyarah yang mana 85 peratus daripadanya memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai kepakaran untuk membantu membangunkan negeri ini.
“Banyak peluang kolaborasi yang boleh dicapai bersama antara kedua pihak menerusi sembilan program ditawarkan iaitu Mentor, Duta, Pemikir, Bijak, Mekar, Ikhlas, Emas, Program Kecemerlangan Pelajar dan Pasak.
“Selepas kerjasama ini dilaksanakan, kita akan pastikan agar perjumpaan dapat dibuat setiap tiga bulan sekali atau dua kali setahun bagi melihat perkembangan setiap agenda yang telah dijayakan. Kita tidak mahu setiap usaha sama ini menjadi ‘what’s next?’ kerana tiada pelaksanaan di peringkat seterusnya,” ujar beliau.

Kesempatan itu juga Haim Hilman turut mencadangkan beberapa usul lain seperti penawaran biasiswa oleh kerajaan negeri Kedah untuk pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di UUM, kerjasama bagi program Kembara Diraja Kedah, pengambilan sekolah atau kampung angkat mengikut pusat pengajian menerusi program 1 Pusat Pengajian 1 Daerah (1PP1D), penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang mana UUM menjadi lokasi bagi zon utara dan hasrat mewujudkan Kursi Kedah.