UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Milik siapa kapal layar mewah ini?

Samsudin Oli

Samsudin Oli

Journalist and Assignment Editor for UUMTV .
Kehadiran kapal layar mewah atau ‘superyacht’ jenis Adastra di muara Sungai Perlis di Kuala Perlis menggamit perhatian nelayan dan penduduk di tebing sungai itu untuk melihatnya.

KANGAR: Kehadiran sebuah kapal layar mewah jenis Adastra di muara Sungai Perlis, Kuala Perlis berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis, di sini semalam ternyata menggamit perhatian orang ramai terutama nelayan serta penduduk kampung yang terletak di pesisiran Sungai Perlis di Kuala Perlis, di sini.

Kapal layar atau ‘super yacht’ yang berharga sekitar USD45 juta (lebih RM200 juta) itu dipercayai tiba dari Langkawi dan disedari penduduk sekitar lembangan Sungai Perlis itu sekitar jam 12 tengah hari.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Perlis (PELARIS) Jasmi Hashim, berkata pihaknya ada diberitahu nelayan serta penduduk sekitar muara Sungai Perlis akan kehadiran dan pergerakan kapal layar mewah itu.

“Kita bagaimanapun tidak menerima sebarang aduan daripada nelayan mengenai gangguan dari segi lalu lintas bot nelayan di muara sungai itu.

“Malah, kita juga difahamkan kapal layar mewah itu sebenarnya bergerak menuju ke dok Perlis Marine Engineering (PME) Sdn Bhd yang terletak di Kampung Tengah Kuala Perlis bagi tujuan pembaikan kapal layar,” katanya.

Seorang nelayan, Mat Che Ya, 53 pula berkata, walaupun banyak kapal yang bersaiz sederhana melalui muara sungai itu, namun kapal layar mewah yang canggih itu jarang sekali dapat dilihat di kawasan itu.

“Banyak dah kapal lalu sini cuma saiz tidaklah besar tapi kapal layar yang semalam itu jarang lalu di sini.

“Jadi bila kapal layar itu lalu di sini nampak macam kapal angkasa atas air pula kerana tak nampak macam kapal atau bot yang kita biasa lihat,” katanya.

Tular di media sosial hari ini mengenai kehadiran kapal layar mewah berkenaan yang dilihat sedang berlabuh di tengah muara Sungai Perlis.

Tinjauan dari atas Jambatan Tuanku Syed Putra, Kuala Perlis hari ini bagaimanapun mendapati tiada sebarang kelibat kapal layar mewah itu berlabuh atau bergerak di sekitar muara Sungai Perlis berhampiran jambatan itu.

Malah, nelayan di kawasan itu juga tidak memastikan sama ada kapal layar mewah itu masih berada di dok PME Engineering Sdn Bhd atau sudah pun belayar keluar dari muara Sungai Perlis menuju ke Langkawi.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, pihaknya tidak dimaklumkan tentang kehadiran kapal layar mewah itu di muara Sungai Perlis.

“Kita tidak dimaklumkan mengenai kehadiran kapal layar mewah itu di kawasan ini.

“Namun, apa yang dimaklumkan oleh anggota kita yang melakukan rondaan di sekitar perairan Perlis adalah pihak kapal layar mewah itu sudah mendapat kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia menerusi Pejabat Laut Negeri Perlis untuk melalui muara sungai itu dan berlabuh di PME Engineering Sdn Bhd,” katanya. – Berita Harian