UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Motivasi bakar semangat pelajar

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

SINTOK: Pernah melalui kehidupan susah ketika di usia muda yang mendorong untuk menjadi insan berjaya kini, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkongsi pengalaman dan motivasi beliau itu bersama 180 pelajar Tingkatan 4 dari sekolah menengah sekitar daerah Kubang Pasu, Baling dan Langkawi sempena Program Jalinan Harapan Permata KOMPaS di Dewan INASIS TM.

Pada program itu, beliau titipkan pesanan agar semua pihak terlibat dapat mengangkat ‘permata’ Kedah ini menjadi kebanggaan ibu bapa dan masyarakat.

“Renungi kekurangan di rumah yang bukan untuk ditangisi atau kesali tetapi percayalah bahawa Allah sengaja mempersiapkan sedemikian rupa untuk membangunkan jiwa-jiwa kental dan luar biasa.

“Yang datang dari keluarga susah, sebenarnya Allah sayang kepada kita. Allah akan sentiasa dekat dan bertahanlah serta melangkahlah agar dapat mencapai kejayaan yang diimpikan ibu bapa,” katanya.

Haim Hilman berkata, andai diri merasakan tiada yang sayang atau prihatin dengan nasib diri, percayalah bahawa diri kita semakin hampir dan dekat dengan Allah.

Ujarnya, Allah tidak akan meninggalkan hamba-Nya kerana Dia paling dekat dengan diri ini.

Haim Hilman (dua, kanan) dan Rosna (kanan) beramah mesra dengan pelajar yang menyertai program Jalinan Harapan Permata KOMPaS di Dewan INASIS TM.

“50 tahun lalu, saya juga datang dari keluarga yang tiada apa-apa dan jauh di sudut hati tersemat rasa kesungguhan untuk mampu jadi insan berjaya.

“Jadi, pelajar semua harus yakin dan percaya bahawa kalian adalah ‘permata’ yang sedang digilap di Kedah agar menjadi kebanggan masyarakat dan ibu bapa yang berasa bersyukur dengan pelajar semua,” katanya lagi.

Tambah beliau, apa yang penting adalah sentiasa mendekatkan diri kepada sang Pencipta dan tidak jauh dari-Nya dengan mengerjakan apa yang diperintahkan serta sentiasa menjaga hubungan dengan Allah.

Menurut Haim Hilman, pelajar perlu belajar bersungguh-sungguh agar tidak mengecewakan ibu bapa. Jangan mengharapkan orang luar untuk membela atau menghulurkan bantuan.

“Bangun dan bangkitlah menjadi anak muda yang luar biasa. Kita hanya perlukan satu peluang sahaja iaitu sentiasa bersujud kepada Allah. Berdoalah untuk masuk ke universiti kelak tamat persekolahan dan belajar serta berusaha untuk berjaya.

“Jangan dijadikan miskin sebagai alasan untuk kita tidak berjaya. Ramai insan yang berjaya hari ini juga berasal dari keluarga susah kerana mereka tidak pernah mengalah atau berputus asa untuk mengubah nasib diri dan keluarga. Percayalah bahawa pelajar semua boleh mengubah nasib keluarga juga,” katanya.

Haim Hilman berkata, beliau berharap progam ini dapat mengubah sikap dan persepsi pelajar dalam melihat dunia yang penuh rintangan dan cabaran.

Katanya lagi, beliau yakin dan percaya semua pelajar terlibat akan menjadi insan berjaya yang mempunyai masa depan jauh lebih baik dan mulia.

“Kepada guru-guru, terima kasih kerana masih memikirkan anak-anak ini yang sentiasa mahukan sentuhan luar biasa dari insan mulia,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Program Penyelidikan KOMPaS, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim berkata, program tersebut bertujuan untuk memberi motivasi kepada pelajar terlibat tentang kepentingan pendidikan, perancangan masa depan dan berkongsi peluang pendidikan dan profesion masa depan mereka.

Menurutnya, sebanyak enam sekolah terpilih mengikuti program tersebut dengan kerjasama Yayasan Sime Darby, Kerajaan Negeri Kedah dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.

Menurutnya, program yang mengandungi tiga projek penyelidikan pelbagai disiplin itu turut dibantu Prof. Dr. Norhafezah Yusof (SMMTC) dan Noraziah Che Pa (SOC).

“Selain penyertaan 180 pelajar ini, seramai 18 guru pembimbing dan 40 pelajar UUM (fasilitator) terdiri daripada ahli Persatuan PENDIDIK dan PERKOM (Komunikasi) turut mengambil bahagian.

“Saya berharap dengan penganjuran program selama dua hari ini akan membantu usaha untuk mendidik pelajar menjadi seorang yang sukses dan berjaya dalam kehidupan mereka pada masa hadapan,” katanya.

Sekolah terlibat dalam program KOMPaS itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, SMK Tanjong Puteri, SMK Tunku Seri Indera Putera, SMK Ayer Hitam, SMK Kelibang dan SMK Ayer Hangat.