UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM-TLDM bincang kerjasama

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

UUM ONLINE: Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah telah menerima kunjungan hormat daripada Panglima Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Azeman Yusoff di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, tengah hari semalam.

Kunjungan itu bertujuan membincangkan tentang inisiatif kerjasama yang boleh dilaksanakan secara bersama antara UUM dan TLDM.

Haim Hilman berkata, pertemuan itu akan menjadi titik permulaan kepada jalinan kerjasama strategik antara TLDM dan UUM.

“Kedua pihak boleh bekerjasama mengadakan program atau acara universiti bersama PALAPES dan pada masa sama melihat hala tuju PALAPES bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Adalah menjadi harapan saya agar TLDM dapat membantu UUM dalam pelaksanaan program dan pembangunan modal insan mengikut kepakaran yang ada di organisasi masing-masing,” katanya yang turut menawarkan peluang melanjutkan pengajian kepada warga TLDM yang berminat.

Beliau turut menerangkan tentang peluang kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan antara UUM dan TLDM.

Haim Hilman (kiri) mengadakan perbincangan tentang kerjasama strategik dengan delegasi TLDM di Bilik Mesyuarat Naib Canselor.

Sementara itu, Azeman berkata, beliau menyambut baik cadangan kerjasama berkenaan khususnya dalam meningkatkan kebolehpasaran pelajar dari PALAPES dalam aspek disiplin, berdaya saing dan cemerlang akademik.

Menurutnya, dengan perbincangan yang diadakan itu akan dapat merintis kerjasama baharu antara kedua-dua organisasi.

Hadir sama, Pegawai Staf KD Sri Pinang TLDM, Leftenan Komander Ahmad Shamil Mohd Ezmi dan Pegawai Koordinasi PALAPES Laut UUM, Leftenan Madya Mohamad Muizzuddin Norhalimi serta pegawai-pegawai kanan UUM.