SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) harus peka dengan perubahan semasa untuk bergerak lebih maju ke depan di masa hadapan.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad berkata, universiti ini perlu menyedari perubahan sejagat dan menyesuaikan dengan perubahan tersebut sama ada perubahan di luar mahupun dalaman.
Menurutnya, ini adalah satu keperluan agar UUM terus kekal relevan dengan tuntutan semasa, namun masih mengekalkan ‘niche area’ sebagai universiti pengurusan di negara ini.
Katanya, universiti tidak boleh melonjak kecemerlangan sekiranya tidak mengamalkan budaya penuh kualiti kerana elemen itu penting sebagai garis panduan kepada universiti untuk bersaing dengan universiti tempatan lain dan memastikan UUM lebih mara ke hadapan.
“Jadilah universiti pengurusan yang setanding dan sebaris dengan Universiti Harvard seperti yang disuarakan kepimpinan terdahulu ketika penubuhan UUM dahulu dengan berusaha ke arah merealisasikan hasrat tersebut.
“Universiti tidak boleh bergantung pada akademik sahaja tetapi juga pengurusan. Jadi, pengurusan dan kepimpinan UUM mesti ‘tip top’ agar dapat menjadi ‘role model’ kepada universiti-universiti lain dalam aspek pengurusan dan kepimpinan yang menjadi ‘niche’ universiti ini,” katanya pada Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU) UUM di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.
Tambah Ahmad Masrizal, pemimpin berjaya mempunyai keupayaan untuk mengenal pasti golongan pekerja yang berbakat, memanfaatkan bakat dan kebolehan agar jadi lebih optimum serta berupaya menggembleng sumbangan daripada semua pihak, bukan menunjukkan pemimpin sahaja yang hebat.

Ujarnya, gembleng kesemuanya untuk menjadi cemerlang kerana semua orang mempunyai matlamat besar dalam hidup dan seorang pemimpin juga tidak akan bercakap perkara negatif, sebaliknya mengubah sesuatu yang negatif menjadi bermakna, selain mengutamakan kerja berpasukan berprestasi tinggi.
Malah beliau yakin dan percaya UUM akan melonjak pada masa hadapan dan terus mengekalkan prestasi cemerlang.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, beliau yakin dan percaya 118 staf yang menerima anugerah ini bukan umpama bintang di malam hari yang hanya menyinari kegelapan tetapi bintang yang menunjukkan jalan dan arah kepada mereka di luar sana yang memerlukan petunjuk kepada kecemerlangan.
Menurutnya, beliau mahu semua penerima menjadikan anugerah yang diterima hari ini sebagai pemangkin untuk melipatgandakan apa yang telah diusahakan sebelum ini.
“Saya berharap perkhidmatan atau kajian atau penerbitan dilakukan menjadi titik tolak mencari keredaan Allah dan pastikan ia memberi impak kepada masyarakat dan dunia yang ingin dilihat berubah kerana kita.
“Mari kita bersama-sama melangkah sederap, hati bersatu menjadi sebuah pasukan atau ‘dream team’ yang diimpikan universiti. Semoga apa yang dilakukan ini menjadikan langkah kita lebih gagah dan berani,” katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Masrizal telah menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 118 staf universiti yang terdiri daripada lapan staf pentadbiran kumpulan Pengurusan & Profesional, 71 staf pentadbiran kumpulan Pelaksana dan 39 staf Akademik serta penyampaian Anugerah Penyelidikan, Penerbitan, Pengajaran dan Pembelajaran, Inovasi dan Kualiti (APIQ) bagi tahun 2021.
Selain itu, turut menyaksikan Dr. Mohamad Sabri Sinai dari Pusat Pengajian Pengkomputeran sebagai penerima Insentif Kecemerlangan Akademik yang membolehkan beliau membawa pulang wang tunai RM10,000 dan sijil penghargaan.
Turut diadakan pelancaran portal berita digital UUM iaitu ‘UUM Today’, laman sesawang (website) UUM 4.0 dan juga sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat UUM.