UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Peranan penting alumni kepada universiti

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

SINTOK: Sempena sambutan Hari Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 30 Julai lalu, Pusat Alumni UUM menyingkap tentang peranan, aktiviti dan sumbangan penting pusat berkenaan kepada universiti dalam khutbah Jumaat, baru-baru ini.

Khutbah yang disampaikan Timbalan Pengarah Pusat Alumni, Halim Md. Yatim sebagai khatib menjelaskan visi dan misi antara alumni dan universiti serta kepentingan semua graduan UUM untuk menjalinkan hubungan berterusan dengan universiti sebagai alma mater walau di mana jua berada.

“Apabila kita dikira sebagai alumni UUM, jangan sesekali kita lupa untuk libatkan diri secara langsung atau tidak langsung ke arah memartabatkan universiti yang tercinta ini ke tahap yang lebih cemerlang.

“Justeru, saya menyeru kepada semua alumni UUM untuk bersama-sama menabur bakti dalam apa jua keupayaan yang dimiliki sama ada dari sudut kepakaran dan idea, kewangan atau jaringan industri untuk kebolehpasaran bakal graduan dan lain-lain sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada UUM,” katanya pada solat Jumaat Sempena Hari Alumni di Masjid Sultan Badlishah.

Khatib solat Jumaat mengingatkan pelajar memanfaatkan masa untuk menuntut ilmu sebaiknya.

Khutbah turut mengingatkan semua pelajar UUM supaya tekadkan dalam diri masing-masing untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya dan bukannya peluang untuk berseronok-seronok kerana berjauhan dengan ibu bapa, bebas melakukan apa sahaja sehingga membawa kepada kegagalan masa depan.

Khatib solat Jumaat juga menyarankan kepada semua pelajar sepanjang tempoh berada di menara gading ini dapat memanfaatkan masa tersebut untuk menuntut seberapa banyak ilmu berbentuk akademik dan ilmu yang boleh membina sahsiah diri.

Manakala, kepada alumni UUM pula diharapkan dapat bersama-sama berganding bahu mengikut keupayaan dan kepakaran masing-masing dalam memartabatkan dan memperkasakan UUM serta mencari mekanisme terbaik untuk kebolehpasaran graduan mengikut kehendak pasaran semasa.

Khutbah penuh boleh layari di https://www.uumalumni.my/index.php/en/news/alumninews/item/590-selamat-hari-alumni-uum