BANGKOK: Sejak tengah malam semalam, sekurang-kurangnya 17 lokasi di tiga wilayah di selatan Thailand digegarkan dengan serangan bom dan letupan yang menyebabkan kebakaran, selain kecederaan ke atas tujuh mangsa.
Pihak berkuasa yang mengesahkan kejadian itu berkata, mereka tidak menolak kemungkinan serangan itu dilakukan dengan terancang yang menyasarkan kedai serbaneka dan stesen minyak.

Jurucakap tentera, Pramote Promin berkata, tiga daripada tujuh mangsa yang cedera itu merupakan orang awam, namun sehingga kini tiada pihak yang mengaku mencetuskan serangan terbabit.
“Penyerang dalam siri pengeboman kali ini menyamar sebagai seorang wanita dan menunggang motosikal bagi melontar bom petrol ke lokasi yang disasarkan.
“Jelas bahawa mereka komited untuk menggunakan keganasan terhadap orang awam, menggunakan keyakinan terhadap ekonomi, mencetuskan huru-hara dan cuba menjejaskan sistem kerajaan,” katanya.
Serangan terkini itu berlaku selepas Kerajaan Thailand pada awal tahun ini memulakan kembali perbincangan dengan kumpulan pemberontak utama, Barisan Revolusi Nasional (BRN) selepas ia ditangguhkan selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO) yang diketepikan daripada usaha terbaru rundingan itu melakukan pengeboman pada Ramadan lalu kerana mendakwa dialog tersebut tidak bersifat inklusif. Bagaimanapun, Ketua pertubuhan itu, Kasturi Makhota memberitahu kepada Reuters dengan menafikan penglibatan PULO dalam serangan semalam.
Serangan itu adalah yang paling berprofil tinggi sejak awal April apabila kerajaan Thai dan BRN Melayu Patani iaitu kumpulan pemberontak dipercayai terbesar di Thailand bersetuju untuk menghentikan keganasan pada Ramadan lalu.
Wilayah selatan Thailand di sepanjang sempadan menyaksikan pemberontakan selama berdekad lamanya, malah kerajaan negara itu juga berusaha memerangi kumpulan itu yang menuntut kemerdekaan untuk wilayah Patani, Yala, Narathiwat dan sebahagian Songkhla yang mana majoriti penduduknya beragama Islam.
Penduduk Islam di wilayah tersebut mendakwa mereka dilayan seperti warga kelas kedua di Thailand.
Menurut kumpulan pemantau keganasan, Deep South Watch, lebih 7,300 orang terbunuh dalam konflik itu sejak 2004.
Meskipun ada rundingan damai yang bermula pada 2013, namun semua usaha yang diambil setakat ini menemui jalan buntu. – AGENSI