UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM sertai Mou universiti awam bersama SPR

Samsudin Oli

Samsudin Oli

Journalist and Assignment Editor for UUMTV .

PUTRAJAYA: Universiti Utara Malaysia (UUM) antara 18 Institusi Pengajian Tinggi Awam yang Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Program Memperkasa Pendidikan Pengundi Mahasiswa (Undi 18) di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), semalam.

Melalui MoU ini, KPT akan menubuhkan Jawatankuasa Program Memperkasakan Pendidikan Pengundi Mahasiswa sebagai platform untuk membincangkan mengenai pelaksanaan program-program pendidikan pengundi yang melibatkan mahasiswa.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam ucapannya berkata, jawatankuasa yang akan menggotainya ialah wakil-wakil Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dari 20 Universiti Awam (UA), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Akademi Pilihan Raya (APR) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Manakala Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) akan bertindak sebagai urus setia.

“Fungsi utama jawatankuasa ini sebagai platform bagi pihak KPT, UA dan APR serta SPR membincangkan berkenaan dengan pelaksanaan program-program pendidikan pengundi yang melibatkan mahasiswa.

Mereka akan bertanggungjawab melihat keberkesanan pelaksanaan program yang telah dirancang, dan seterusnya mencadangkan mekanisme yang sesuai bagi menambah baik pelaksanaan program tersebut.

“Dengan pewujudan tadbir urus yang jelas ini, sasaran pelaksanaan program-program pendidikan pengundi kepada mahasiswa serta hasrat untuk melahirkan graduan yang holistik dan seimbang dapat dicapai,” ujar beliau lagi.

Beliau menambah Program Memperkasa Pendidikan Pengundi Mahasiswa ini juga adalah merupakan manifestasi sokongan KPT dalam pelaksanaan Undi 18.

Jelasnya, perkara itu diterjemahkan melalui kerjasama antara UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan SPR dalam melaksanakan program-program pendidikan pengundi kepada mahasiswa.

“Sudah semestinya pelaksanaan program yang lebih holistik, tersusun dan terselaras perlu dilakukan.

“Perlu ada kerjasama yang berstruktur antara pihak UA dan JPPKK sebagai pelaksana serta SPR melalui APR sebagai pihak yang pakar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga berharap pelaksanaan program-program pendidikan pengundi ini juga akan diperluaskan kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Beliau percaya, dengan adanya pelaksanaan program-program pendidikan pengundi yang terselaras di peringkat nasional, akan dapat membantu mencapai aspirasi kerajaan untuk melahirkan mahasiswa sebagai pengundi bijak, matang dan berketerampilan nanti.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah yang mengulas mengenai MoU ini berkata, pihak UUM akan menyokong dan memastikan semua warga kampus akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan rakyat kepada negara Malaysia.

Haim Hilman (empat dari kanan) bersama-sama Noraini selepas tamat Majlis Menandatangani Mou dan Nota Kerjasama bagi Program Memperkasa Pendidikan Pengundi (Undi 18).

“Kami akan memastikan agenda ini mencapai matlamatnya dan berharap MoU ini akan menjadi pemangkin kepada kerjasama UUM dengan SPR nanti,” ujar beliau lagi.

Katanya dengan kerjasama ini nanti pastinya dapat menyambung lebih banyak kearah pemantapan dan pengukuhan agenda pendidikan khususnya aspek kesedaran dikalangan pengundi muda.

Sebelum ini, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 iaitu menurunkan had umur mengundi, pendaftaran automatik dan menurunkan had umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun pada 16 Julai 2021.