UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Azi kembali ke pangkuan keluarga

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

KOTA BHARU: Akhirnya, ejen jualan kosmetik, Rosnazira Mohd Naim, 36, kembali ke pangkuan keluarganya setelah  tiga minggu diculik dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat pada 13 September lalu.

Wanita yang lebih mesra dengan panggilan Azi itu tiba di negeri ini, awal pagi semalam dengan keselamatannya dipantau pihak berkuasa.

Azi yang diiringi Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ke rumah mentuanya di Kampung Kelochor jam 2.50 petang tadi.

Dia yang mengenakan kemeja biru gelap dan memakai pelitup muka terus menerpa ibu bapanya yang menunggu di pekarangan rumah dalam keadaan menangis.

Kepulangan Azi disambut oleh bapanya, petang tadi. Gambar BH Online

Muhammad Zaki berkata, Azi mungkin mengalami tekanan emosi dan pihaknya sudah menjalankan sesi kaunseling bagi mengurangkan trauma dialami mangsa.

Menurutnya, kes penculikan itu mendapat liputan meluas dan dengan bantuan semua pihak, Azi diselamatkan seterusnya dibawa pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan baik.

“Soal keselamatan mangsa selepas ini, keluarga perlu adakan perbincangan apakah langkah seterusnya kerana tidak semestinya bergantung kepada pihak polis semata-mata,” katanya.

Mengulas siasatan kes itu, katanya ia sudah selesai, namun ada banyak yang perlu dipertimbangkan dalam siasatan pihaknya dan selagi ada perkara yang menyalahi undang-undang, polis akan siasat.

Azi (kanan) memeluk ibunya sebaik tiba di kediamannya, petang tadi. Gambar BH Online

Dalam kejadian petang 13 September lalu, Azi yang juga ibu kepada seorang anak dilarikan oleh sekumpulan lelaki sebelum dibawa ke Thailand menerusi Sungai Golok.

Bagaimanapun, mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke negara ini pada 29 September lalu hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand.

Tujuh lelaki tempatan turut ditahan berhubung kes itu di tiga negeri iaitu Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Mengulas tujuh tangkapan sebelum ini, Muhamad Zaki berkata, tiga daripadanya sudah dibebaskan, manakala empat lagi masih ditahan.

Ujar beliau, mereka ditahan untuk dijalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.