UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Azmeer, Ahmad Idham gapai impian

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Melihat kepada situasi Allahyarham Tan Sri P Ramlee walaupun banyak menghasilkan filem dan lagu namun tidak banyak dokumentasi dihasilkan telah membuka hati Azmeer untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Azmeer atau nama sebenar, Mohd Azhar Abu Bakar, mengambil keputusan berkenaan kerana mengagumi seniman agung itu dengan menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) ke peringkat doktor falsafah dalam bidang Pengurusan Industri Kreatif Warisan Budaya demi memberi impak pada masyarakat.

Selain dikenali sebagai penggubah lagu, penulis lirik, penerbit muzik dan album, Azmeer turut dikenali sebagai guru vokal dan juri pertandingan yang mempunyai nama besar dalam industri muzik tanah air.

“Saya mula berkecimpung dalam dunia seni sejak 1990-an sampai satu tahap saya rasa perlu memberi sesuatu kepada generasi muda supaya ilmu yang ada dapat dikongsi bersama dan tidak hilang begitu saja. P.Ramlee mempunyai  ilmu yang sangat banyak sayangnya tidak banyak yang didokumenkan atau dibukukan sepanjang beliau dalam industri.

“1 hari ada 24 jam, saya tanya diri mana keutamaan, nak curah ilmu atau nak buat lagu? Dulu saya hamba seni kalau tak buat kerja seni anak bini tak makan tapi sekarang seni jadi hamba saya bila kerajaan bayar gaji untuk curahkan ilmu, buat lagu bila lapang tapi saya lebih selesa mengajar.

“Dalam kehidupan apa sahaja yang kita buat boleh tersilap, silap dalam muzik dan silap buat lagu tapi ilmu tidak pernah silap,” kongsinya.     

Dalam menyiapkan tesis ini, beliau mengutip ilmu dan pengalaman daripada artis lejen seperti Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Hetty Koes Endang, Dato’ Seri Siti Nurhaliza dan Misha Omar yang banyak menang anugerah untuk mengetahui apa rahsia kejayaan kekal sampai hari ini supaya dapat digunpakai oleh penggiat seni vokal dan persembahan tanah air.

“Di saat Covid-19 melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan satu bala dan malapetaka yang dasyat bagi sesetengah orang tapi saya bersyukur kerana diberi kelapangan masa. Dari jam 10 pagi hingga 10 malam siapkan tesis dan isteri suapkan makan.

“Walaupun keadaan saya begini, saya tak percaya orang taipkan jadi saya buat sendiri kerja penyelidikan dengan mencurahkan dari hati nurani. Pernah satu ketika saya buat tesis sampai pecah kerusi kerana duduk terlalu lama 10 jam dan 3 pagi baru melelapkan mata.

“Untuk menjadi hebat, belajar dan terus belajar sama ada dari orang lama, kelas bukan sahaja cara menyanyi tetapi cara pengurusan diri dan artis. UUM sebuah universiti pengurusan jadi apa yang kita buat perlu pengurusan kerana tanpa pengurusan peluang gagal adalah tinggi,” katanya. 

Mengulas lanjut perkembangan terkini, beliau sedang menulis buku memaparkan pengalaman hidup bagaimana menjalani hidup sebagai insan, berjaya, disiplin, menghormati orang tua dan sahabat. 

“Bagaimana teknik nyanyi tanpa sumbang, persembahan yang mengagumkan, ada elemen kekaguman, penonton terpegun, meremang bulu roma saat mendengar lagu jadi apa rahsia dan semuanya ada dalam buku yang bakal diterbitkan nanti. Selain itu saya selesai merakam 30 lagu lagu lama dalam versi baru. Sejarah lagu juga akan dibukukan menerusi kaji selidik contohnya sejarah lagu Suci Dalam Debu yang merupakan cerita sufi.

Buat penggiat seni memang seni yang memiliki bakat semulajadi atau yang digilap boleh sama hebat tetapi selarikan dengan ilmu kerana ilmu akademik membetulkan tertib seni yang dipersembahkan kepada khalayak ramai. buatlah kerja seni dengan ikhlas, jangan berkira, berilah bantuan tanpa caj dan gunakan seni untuk kerja amal. hormati semua orang sekalipun tukang cuci.

Menurutnya, berkat doa dan sokongan daripada bapa, Abu Bakar Mohd Ishak dan isteri, Azira Azid serta keluarga tercinta menjadi pembakar semangat untuk berjaya menamatkan perjalanan dalam menimba ilmu.

“Saya sangat bersyukur dapat membanggakan bapa di usianya 87 tahun.  Selalunya ayah tengok saya menang anugerah, kali ini dia dapat tengok saya jadi doktor itulah kepuasan melebihi segala-galanya kerana dia, saya dapat melihat matahari, bulan dan segalanya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Ke-34 UUM.

Selain Azmeer, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 51, antara 6,611 mahasiswa yang berjaya menamatkan pengajian.

Graduan Doktor Pengurusan ini melakukan kajian bertajuk Ekosistem dan Dasar Industri Perfileman Malaysia: Satu Kajian Ke Atas Pengantarabangsaan Filem Melayu.  

“Saya suka belajar walaupun di luar bidang dan amat meminati bidang pendidikan dan usaha ini lebih kepada khazanah diri demi menjadi seorang yang berilmu. Apabila dapat tawaran menjadi pengarah sambilan di sebuah universiti, saya banyak memberi ceramah dan dari situ terpanggil untuk melanjutkan pelajaran,” ujarnya.

“Bagi saya bila kita minat buat sesuatu, tidak kira sesibuk manapun, masa, kita yang tentukan bukannya masa kawal kita dan dengan sokongan keluarga, sahabat dan pelajar UUM impian kini jadi nyata,” ujarnya. 

Selain itu, beliau aktif dalam kerja amal misalnya memiliki pusat vokasional dan sekolah pendidikan khas untuk anak istimewa seperti autisme, disleksia dan sindrom down demi pemerkasaan pendidikan khas.

“Saya sering ke rumah anak-anak istimewa ada antara anak-anak ini didiagnos autism hyper dan disarankan untuk ditempatkan di bahagian psikiatri, agak mengejutkan kerana anak istimewa ini bukan orang kurang siuman.

“Mereka punya keistimewaan tersendiri yang mungkin tidak ada pada manusia biasa seperti kita cuma mereka hanya ada kelemahan tertentu dan berpeluang untuk dipulihkan dengan bantuan pakar terapi dan modul pendidikan khas yang betul.  

“Segala kelompongan ini sedang diusahakan untuk ditambah baik demi memastikan anak-anak istimewa ini tidak ketinggalan sama ada dari sudut pendidikan mahupun kemahiran hidup,” katanya.

Minat mendalam mendekati masyarakat mendorongnya turun padang menyantuni golongan yang memerlukan untuk menyampaikan bantuan. 

“Sebenarnya, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain semoga sumbangan yang dihulurkan sedikit sebanyak meringankan bebanan,” ujarnya.