Gambar SEFB/UUMToday
CHANGLUN: Selepas berjaya mendaki ke puncak Bukit Talipong bagi menikmati keindahan ciptaan Tuhan, staf Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi ‘back to nature’ dengan meredah hutan simpan kekal Bukit Perangin, dekat sini, baru-baru ini.
Dekan SEFB, Prof Madya Dr. Bakti Hasan Basri berkata, kepenatan berjalan kaki menempuh perjalanan sejauh 6 kilometer tidak sia-sia apabila semua staf terlibat berjaya sampai ke Air Terjun Tirai Bukit Perangin yang semestinya meninggalkan kenangan manis buat semua.
Menurutnya, program ini sudah tentunya memberi impak yang positif kepada pembinaan sahsiah diri staf SEFB baik dari segi fizikal mahupun mental kerana ia benar-benar menguji daya tahan peserta untuk berjalan kaki, meredah beberapa anak sungai kecil serta mendaki bukit yang agak curam sebelum sampai ke air terjun.

“Semangat ini yang kita mahu terapkan dalam kalangan staf, sambil menikmati keindahan ciptaan Tuhan, kita mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.
“Hubungan yang baik sesama staf perlu diterapkan pada setiap masa agar tiada jurang yang ketara bagi memastikan mereka bekerja seperti sebuah keluarga yang harmoni dan saling menghormati,” katanya yang berharap lebih banyak program seumpamanya seperti ini dapat dijalankan khususnya program riadah yang bersifat santai yang secara tidak langsung membantu merehatkan minda dan mengurangkan tekanan di tempat kerja.
Program anjuran Kelab Kebajikan & Rekreasi SEFB itu bermula seawal jam 8.45 pagi dengan taklimat ringkas oleh jurupandu keselamatan iaitu Mohamad Hanif Halim bersama dua pembantu.
Kemudian, peserta menaiki trak pikap ke tempat ‘check point’ yang ditetapkan, seterusnya peserta berjalan kaki sejauh 3 km lagi untuk sampai di Air Terjun Bukit Perangin.

Sementara itu, Pengarah Program, Khairul Anuar Adnan berkata, program yang disertai seramai 40 peserta terdiri daripada staf akademik, pentadbiran SEFB dan juga anak-anak staf itu merupakan kesinambungan aktiviti yang dijalankan pada bulan September sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
“Aktiviti-aktiviti santai seperti ini amat penting untuk merehatkan minda buat sementara waktu dan secara tidak langsung dapat mendorong ahli kelab untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat serta dapat meningkatkan kecergasan diri dan lebih produktif dalam menjalankan tugas seharian.
“Aktiviti ini juga secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan kecergasan diri staf SEFB yang akan menyertai Kejohanan Sukan Staf UUM 2023 yang akan diadakan pada bulan ini. Disamping itu juga aktiviti ini penting bagi menggalakkan penyertaan ahli-ahli kelab SEFB dalam aktiviti luar yang sihat, sekali gus mengeratkan silaturahim sesama ahli semua,” jelasnya.
Peserta, Megat Hakim Megat Hamadi yang merupakan anak kepada Prof. Dr. Mukaramah Harun menyatakan rasa terharu dan bersyukur kerana dapat mengikuti program ini bersama ibunya.

Katanya, dia teruja apabila pertama kali sampai di sini dengan pemandangan cantik alam semula jadi hutan hijau Bukit Perangin, air sungai yang mengalir jernih dan air terjun Tirai Bukit Perangin yang sangat cantik dan memukau setiap mata yang memandangnya dan sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Hilang penat saya apabila melihat air terjun tirai ini didepan mata saya dan jika ada kesempatan lain saya pasti akan mengunjungi lagi bersama teman-teman saya pula,” ujarnya.