Sekuntum bunga mawar meniup aura, semangat positif dan memberi keceriaan kepada mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), di DKG 6.
Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Acara, Wan Nur Nadhirah Wan Ab Hisham berkata, Kelas Pembangunan Masyarakat 4C mengambil langkah proaktif menjalankan projek mini, Sekuntum Harapan yang bertujuan memberi pendedahan tentang kepentingan menjaga kesihatan mental di samping menceriakan pelajar terutamanya yang sedang menghadapi kesukaran.
“Harapan membawa maksud perihal yang mengharapkannya untuk mendapat bantuan yang telah hilang manakala, sekuntum melambangkan sekuntum bunga yang akan diberikan kepada pelajar maka wujudlah Sekuntum Harapan.
“Usaha murni ini juga menyuntik kesedaran terhadap kesihatan mental bagi membantu pelajar menangani masalah tekanan dengan lebih menyayangi diri mereka sendiri.

“Jika kita rasa tiada orang yang sayang, tiada sokongan, anda boleh letakkan diri anda sebagai seorang mahasiswa yang memiliki harapan untuk mencapai impian. Ingat semula kenapa memilih untuk menyambung belajar demi meniupkan kembali semangat agar sentiasa maju ke hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif, Nor Farahin Ramli teruja memberi bunga yang disifatkan sebagai pengalaman yang menyeronokkan apabila melihat senyuman terukir di wajah pelajar.
“Sekuntum harapan bermaksud harapan seseorang insan untuk terus berjaya atau melihat anda berjaya. Kami menggunakan figura kuntum untuk menggambarkan harapan daripada insan yang tersayang untuk kita.
“Jadi, sentiasa berfikiran positif dengan cara menjaga tutur kata, sentiasa bersyukur, sayangi diri, rajin beribadah, berkawan dengan orang yang positif dan amalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Melalui program ini, Nor Farahin mempelajari sesuatu yang bermakna dalam menjalani kehidupan.
“Kita gembira bukan kerana kita dapat hadiah daripada orang malah dengan cara kita memberi sesuatu kepada orang lain juga dapat memuaskan hati sekalipun kita beri benda yang kecil.
“Kami rasa puas, bahagia dan berbaloi sangat dapat buat orang lain bahagia sekalipun orang yang tidak dikenali, sekurang-kurangnya kita dapat menceriakan harinya,” ujarnya.
Manakala pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan, Nor Alia Musa teruja menerima sekuntum bunga.

“Sebenarnya, saya terkejut juga tiba-tiba orang bagi bunga, siapa yang tidak seronok jika mendapat sekuntum bunga sekalipun kita tidak kenal siapa yang memberi,” katanya.
Jelasnya, selain mendapat bunga mahasiswa turut diberi pendedahan dan pemahaman mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental selain dapat menjalin kasih sayang tanpa mengira kaum.
Nor Alia berharap program ini memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk mewujudkan projek yang memfokuskan tentang kesedaran, kempen atau pendedahan berkaitan kesihatan mental.