UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Bangun bakat mahasiswa beri sumbangan kepada komuniti

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK: Penglibatan pelajar di dalam komuniti mampu menjadi pemacu kepada pembangunan dan kecemerlangan negara.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad melihat kemampuan pelajar dalam menguruskan majlis-majlis rasmi universiti adalah satu pendekatan baik bagi membangunkan bakat pengurusan dalam kalangan mereka.

“Pelajar merupakan bakal pemimpin yang akan menjadi pencetus kepada perubahan di masa akan datang. Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melahirkan modal insan yang mampu memberi sumbangan kepada kesejahteraan komuniti serta negara.

“Dalam hal ini, pengurusan universiti perlu memperbanyakkan program melibatkan komuniti agar dapat mengembangkan bakat pelajar untuk berkomunikasi dengan komuniti dengan baik,” katanya pada Majlis Penutup Pesta Konvokesyen (Peskon) Ke-35 UUM, semalam.

Ujar beliau, pelajar perlu melengkapkan diri dengan menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran, berperibadi unggul serta berfikiran matang, rasional, kreatif dan kritis.

Dengan demikian, menurutnya, pelajar dapat menimba pengalaman secara langsung dengan komuniti dan belajar bagaimana hendak menyelesaikan masalah serta membuat keputusan dengan berkesan, barulah kewujudan UUM sebagai sebuah universiti pengurusan terkemuka dapat dirasai oleh masyarakat.

Dr. Noraini berharap pelajar UUM dapat mengambil kesempatan dan memanfaatkan segala peluang yang ada di universiti ini sebaiknya.

Pada masa sama, bertemakan ‘Peskon Kembalikan Nostalgia Alumni’, beliau turut mengingatkan alumni universiti agar tidak terus meninggalkan alma mater mereka, sebaliknya kembali memberikan khidmat dan sumbangan melalui pelbagai cara.

Begitu juga dalam ucapan Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan menyatakan bahawa pencapaian dan kejayaan alumni yang membanggakan sentiasa memberi impak positif kepada keterlihatan UUM dalam membina imej yang lebih cemerlang di peringkat global.

Katanya, beliau sentiasa mengalu-alukan kepakaran dan kemahiran yang dimiliki alumni untuk membantu universiti demi memajukan ekonomi dan memperkasakan modal insan di UUM.

“Saya berharap agar pelajar yang bakal menjadi alumni akan terus menyumbang ilmu dan kepakaran dalam membantu UUM setelah menempah kejayaan di alam kerjaya kelak.

“Tanamkan hasrat untuk kembali mencurahkan jasa dalam meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi yang dapat membantu anak-anak negeri Kedah dalam bidang pendidikan, terutamanya mereka yang terdiri daripada golongan B40. Kejayaan menangani keciciran bakal meninggalkan dampak yang tinggi kepada kelestarian masyarakat untuk jangka masa yang panjang,” ujarnya.