Gambar APM Sabah
BELURAN: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini bagi menempatkan 87 mangsa banjir susulan hujan lebat sejak semalam.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, dua PPS itu adalah Dewan Kampung Kubambangan dan Dewan Kampung Batangon Darat di Paitan.
Dalam satu kenyataan hari ini, mangsa setakat ini melibatkan 20 ketua isi rumah. Angka ini dijangka meningkat dan makluman akan disalurkan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, tinjauan di beberapa daerah lain seperti Sandakan mendapati beberapa lokasi seperti Kampung Memanjang, Batu 16 dan Batu 19 sudah mula dinaiki air.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pemindahan dijalankan tetapi hujan masih lebat di daerah berkenaan.