UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Banjir Johor: 1,591 mangsa ditempatkan di 21 PPS

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar ihsan APM

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatatkan peningkatan dengan seramai 1,591 orang daripada 560 keluarga dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini.

Angka itu menunjukkan pertambahan berbanding 1,297 mangsa yang terdiri daripada 351 keluarga pada jam 4 pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Negeri (JBPN) Johor dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa empat daerah terjejas membabitkan Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Enam PPS masing-masing di Segamat, Kluang dan Johor Bahru selain tiga PPS di Kota Tinggi telah dibuka secara berperingkat mulai 10.30 malam sehingga 3.20 pagi tadi.

“Segamat merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi yang melibatkan 746 penduduk daripada 209 keluarga yang ditempatkan di enam PPS.

“Ia disusuli daerah Johor Bahru yang merekodkan seramai 560 mangsa daripada 131 keluarga dengan enam PPS beroperasi.

“Kluang pula merekodkan sejumlah 162 mangsa terlibat yang terdiri daripada 188 buah keluarga di enam PPS.

“Selain itu, di Kota Tinggi, 123 mangsa daripada 32 keluarga berjaya dipindahkan ke tiga PPS,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Menurut JBPN, banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini susulan hujan berterusan sejak semalam, sekali gus mengakibatkan peningkatan paras air berlaku di kawasan terlibat.

Setakat pagi ini, terdapat dua laluan ditutup untuk kegunaan semua kenderaan iaitu Jalan Kluang – Mersing (Ladang Greenway) di Kluang dan Jalan Bekok di Segamat. – Awani