UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Bank Islam sumbang endowmen RM350,000 untuk UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK, 18 Januari – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah menyumbang RM350,000 dalam dana endowmen kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk kegunaan Inapan Siswa (INASIS) Bank Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed berkata, sumbangan tersebut adalah bagi tempoh 10 tahun di mana ia akan digunakan untuk tujuan penyelenggaraan dan aktiviti INASIS Bank Islam terutamanya dalam bidang keusahawanan dan literasi kewangan.

Menurutnya, Bank Islam amat menghargai kepercayaan UUM kepada Bank Islam dalam menguruskan kewangan dan memelihara kesejahteraan semua.

Katanya, dengan adanya dana tersebut, INASIS Bank Islam akan lebih selesa dan kondusif untuk kegunaan semua penghuni atau pelajar.

“Saya berharap penjenamaan INASIS ini bakal memperkukuhkan hubungan, ukhuwah dan kerjasama dengan UUM yang terjalin sejak 2005.

“Saya juga amat berbesar hati apabila dijemput untuk mengambil bahagian dalam satu lagi usaha yang memberi manfaat kepada warga menara gading yang disegani ini,” katanya pada Majlis Menandatangani MoA antara UUM dan Bank Islam serta Pelancaran INASIS Bank Islam, hari ini.

MoA tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan dan juga Mohd Muazzam dengan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan juga Pengarah, Deposit and Cards, Bank Islam, Mohd Noor Jab.

Dalam ucapan Mohd Muazzam turut menyatakan bahawa Bank Islam akan menyediakan peluang latihan kepada lepasan UUM bagi melengkapi usahanya dalam mendidik generasi muda berilmu.

Menurutnya, menerusi langkah itu, mereka yang terpilih akan menerima pendedahan dunia pekerjaan serta mengasah kemahiran mereka sebelum menyertai alam pekerjaan, khususnya dalam dunia perbankan Islam.

Sementara itu, Dr. Mohd Foad berkata, beliau berharap dengan jalinan kerjasama ini akan membantu kedua-dua pihak dalam meningkatkan percambahan ilmu khususnya dalam bidang pembangunan keusahawanan dan perniagaan dalam kalangan pelajar UUM.

Menurutnya, bagi pihak UUM juga merakamkan penghargaan kepada Bank Islam atas kepercayaan meletakkan nama korporat tersebut di UUM dan pihaknya akan menjaga nama baik Bank Islam bagi memastikan nama bank itu seiring dengan apa yang dicapai di INASIS ini.

Katanya, UUM berharap dengan jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak bukan sahaja dapat meningkatkan hubungan antara Bank Islam dan INASIS, tetapi juga kepelbagaian program.

“Kita mempunyai program 1 Daerah, 1 INASIS dan Inapan Siswa Bank Islam dipertanggungjawab untuk menjayakan apa jua program di Kuala Muda.

“Saya harap hubungan yang baik ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.