KUALA LUMPUR: Semua murid sekolah bakal menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dengan kenaikan kepada RM150 yang akan dibayar bermula Januari 2023.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan itu dinaikkan berbanding RM100 tahun ini dan diberi kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa.

Menurutnya, bantuan itu diberikan kepada setiap seorang murid meskipun keluarga berkenaan mempunyai tiga anak bersekolah, maka mereka layak menerima bantuan sebanyak RM450 sebagai contoh.
“Peruntukan disediakan untuk BAP ini membabitkan peruntukan RM825 juta, jauh melebihi tahun ini RM450 juta,” katanya pada pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, semalam.