Gambar Google
IPOH: Malang nasib seorang lelaki apabila ditahan polis selepas melakukan samun menggunakan pistol mainan di sebuah kedai emas kurang dari 30 minit di Jalan Sultan Iskandar, dekat sini.
Suspek, 32, ditahan dua anggota dari Balai Polis Pasir Puteh yang bertindak atas arahan bilik bilik kawalan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Jalan Dato’ Onn Jaafar dengan dibantu pasukan sokongan Balai Polis Pekan Bharu.
Ketika ditahan, suspek cuba melarikan diri sambil dikejar orang awam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, mengesahkan tangkapan itu selepas suspek cuba menyamun kedai emas terbabit kira-kira jam 2 petang.
Katanya, ketika memasuki premis tersebut, suspek menyatakan hasrat ingin membeli rantai emas, namun ketika melihat barangan yang ditunjukkan pekerja, lelaki terbabit terus mengambil rantai berkenaan sambil mengacukan ‘pistol’ sebelum melarikan diri.
“Dua anggota Balai Polis Pasir Puteh yang menerima maklumat itu segera menghala ke lokasi dan ternampak seorang lelaki disyaki suspek berlari sambil dikejar beberapa orang awam.
“Dengan dibantu pasukan Balai Polis Pekan Bahru, suspek berjaya ditangkap dan polis turut merampas sepucuk pistol mainan diperbuat daripada plastik yang disimpan dalam beg silang milik suspek,” katanya.
Yahaya mengakui kejayaan menyelesaikan kes samun itu dalam tempoh kira-kira 30 minit adalah hasil kerjasama orang awam yang prihatin dan kepantasan tindak balas polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini untuk permohonan reman.