UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Beberapa jalan, jambatan Pulau Pinang ditutup Ahad ini

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Google

GEORGETOWN: Beberapa jalan termasuk Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah akan ditutup sementara secara berperingkat untuk acara kayuhan berbasikal Penang Fellowship Ride pada 8 Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Soon Lip Chee berkata, jarak kayuhan basikal untuk program itu adalah sejauh 66 kilometer (km) dan jalan-jalan yang terlibat akan ditutup bermula 6.30 pagi hingga 1 tengah hari.

“Acara kayuhan berbasikal Penang Fellowship Ride anjuran kerajaan negeri bersama Kelab Berbasikal G Club dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang ini melibatkan tempat pelepasan serta tempat penamatan di Persiaran Bayan Indah 2 (berhadapan Queens Waterfront),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lip Chee berkata, memandangkan acara kayuhan berbasikal akan melibatkan Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, laluan sehala akan ditutup sepenuhnya pada masa tertentu sahaja untuk memberi laluan kepada peserta kayuhan.

Lip Chee mengingatkan peserta untuk memakai jersi rasmi yang dibekalkan untuk mengambil bahagian dalam acara kayuhan berbasikal dan merentasi Jambatan Pulau Pinang serta Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. Gambar Buletin Mutiara

“Bagi Jambatan Pulau Pinang iaitu dari arah bahagian Pulau ke Seberang Perai sahaja waktu penutupan adalah dari 6.30 pagi hingga 9 pagi, manakala bagi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dari arah Batu Kawan ke Batu Maung sahaja waktu penutupan adalah dari 9 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya.

Tambahnya, Penang Fellowship Ride telah menarik 2,500 penyertaan termasuk peserta dari Singapura, Australia dan Jepun serta Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak juga akan mengambil bahagian dalam acara kayuhan berbasikal tersebut.

Beliau mengingatkan peserta untuk memakai jersi rasmi yang dibekalkan oleh pihak penganjur kerana hanya peserta yang memakai jersi rasmi sahaja dapat mengambil bahagian dalam acara kayuhan berbasikal itu dan merentasi Jambatan Pulau Pinang serta Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. – BERNAMA