UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Beberapa tentera maut, cedera akibat letupan di lapangan terbang

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar AFP

KABUL: Letupan di pintu masuk ke lapangan terbang tentera di ibu negara Afghanistan telah membunuh dan mencederakan beberapa orang, semalam.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Abdul Nafy Takor berkata, punca letupan di pintu masuk yang terletak bersebelahan lapangan terbang antarabangsa Kabul itu masih belum jelas.

“Sebilangan rakan kami syahid dan cedera dalam letupan itu,” kata Takor yang turut berkata, pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu.

Seorang penduduk Kabul, Abdul Noor semalam turut mengesahkan, abangnya yang juga seorang pegawai tentera udara terbunuh dalam letupan itu.

“Beliau pernah bekerja dalam kerajaan terdahulu dan juga sebagai pegawai tentera udara.

“Beliau dan beberapa rakannya berada dalam barisan menunggu untuk memasuki lapangan terbang tentera apabila letupan itu berlaku,” katanya kepada AFP, merujuk kepada kerajaan bekas presiden Ashraf Ghani yang digulingkan dan disokong Barat.

Abdul Noor berkata, letupan itu juga menyebabkan lebih ramai korban.

Pegawai Taliban termasuk Takor bagaimanapun masih tidak mendedahkan sebarang butiran lain walaupun maklumat itu diminta berulang kali.

Taliban mendakwa sudah meningkatkan keselamatan sejak kembali berkuasa pada Ogos 2021 tetapi sering memandang rendah angka korban sekiranya serangan sedemikian berlaku.

Sehingga kini, terdapat beberapa letupan bom dan serangan lain, kebanyakannya didakwa dilakukan oleh kumpulan Daesh tempatan.

Pada bulan lalu, sekurang-kurangnya lima warga China cedera apabila lelaki bersenjata menyerbu sebuah hotel yang popular dengan ahli perniagaan China di Kabul.

Serangan itu didakwa dilakukan oleh Daesh.

September tahun lalu, dua kakitangan kedutaan Russia turut terbunuh dalam kejadian pengeboman berani mati, serangan lain yang didakwa juga dilakukan kumpulan itu.

Beratus-ratus orang, termasuk ahli komuniti minoriti Afghanistan terbunuh serta cedera dalam pelbagai serangan sejak Taliban kembali berkuasa. – AFP