UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Bekalan peninggalan arwah suami untuk besarkan anak-anak

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today

SINTOK: Pembantu tadbir, Siti Salwa Latib, 47, kini mampu menarik nafas lega apabila menerima manfaat Skim Hibah Berkelompok MKSK Takaful Ikhlas hasil caruman arwah suaminya, Zulkarnain Hashim.

Menurutnya, meskipun bekerja, namun dengan hasil caruman yang diterima sebanyak RM24,000 itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban untuk membesarkan anak-anak yang masih belajar.

“Anak sulung saya berusia 20 tahun sudah mula bekerja, manakala empat orang lagi masih belajar di mana masing-masing di kolej komuniti, sekolah menengah, sekolah rendah dan tadika.

“Selain arwah suami, saya juga turut membuat caruman yang sama sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku musibah, kematian mahupun ditimpa penyakit,” katanya dari UUMIT.

Siti Salwa turut menggalakkan warga UUM untuk mencarum dalam skim berkelompok tersebut yang akan menjaga kebajikan staf, ahli kleuarga serta waris dengan memberi perlindungan kepada waris dengan kadar caruman serendah RM10 sebulan.

Penyerahan cek cura Skim Hibah Berkelompok MKSK Takaful Ikhlas itu disampaikan Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan kepada anak sulungnya, Aiman Mukhriz.

Allahyarham Zulkarnain meninggal dunia pada 31 Ogos lalu setelah berkhidmat di UUM sejak 2012 sebagai Pembantu Keselamatan di Jabatan Keselamatan.

Allahyarham menyertai Skim Hibah Berkelompok MKSK ini pada 2019 dengan kadar caruman sebanyak RM10 sebulan.

Untuk rekod, jumlah penyertaan staf dan ahli keluarga adalah seramai 1,844 dan tuntutan manfaat yang telah diterima oleh staf sehingga kini berjumlah RM299,320.

Hadir sama, Ketua Unit Kebajikan, Jabatan Pendaftar, Mohd Yusnaidi Md. Sabri.