Gambar The Vibes
KANGAR: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melibatkan tuntutan palsu berjumlah lebih RM1.18 juta yang dilakukan pada 2013 hingga 2017.
Pengakuan berkenaan dibuat selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norsalha Hamzah di Mahkamah Sesyen 1 Kangar, hari ini.
Berdasarkan kelima-lima pertuduhan, Azlan, 64, didakwa menuntut kemudahan cuti seberang laut yang layak diberikan kepadanya bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017 sedangkan tidak ada sebarang perjalanan tersebut oleh beliau.
Tertuduh berniat memperdayakan prinsipalnya membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London dan invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.
Kesalahan tersebut dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, antara 11 Disember 2013 sehingga 14 Disember 2017.
Pendakwaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pengarah II, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Ahmad Akram Gharib memohon tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Ahmad Akram turut memohon kepada mahkamah agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi memudahkan prosiding berkenaan memandang Azlan bakal didakwa atas satu lagi pertuduhan membabitkan kesalahan Akta Pengecahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011 selepas ini.
Susulan itu, peguam bela tertuduh, Burhanudeen Abdul Wahid bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya anak guamnya dikenakan kadar jaminan berkenaan.
Hakim membenarkan jaminan serta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan dan menetapkan sebutan kes seterusnya pada 12 Mei ini.