UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Bekas PM Pakistan cedera ditembak

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Google

ISLAMABAD: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan ditembak ketika menyertai satu perarakan politik, hari ini.

Bagaimanapun, beliau hanya cedera di bahagian kaki dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil, menurut pembantu kanannya, Raoof Hasan.

Imran, 70, cedera apabila tembakan dilepaskan daripada kumpulan orang ramai berhampiran bandar Gujranwala.

“Insiden ini merupakan percubaan untuk membunuh beliau,” kata Raoof sambil menambah bahawa penyerang pertama telah ditembak mati, manakala penyerang kedua ditahan polis.

Imran mengetuai perarakan sejak Jumaat lalu dari bandar Lahore ke arah ibu negara Pakistan, Islamabad bagi menggesa pilihan raya diadakan segera selepas beliau disingkirkan dari pejabatnya sebelum ini.

Setiap hari dalam apa yang digelar sebagai ‘perarakan yang panjang’, Imran memberikan ucapan kepada ribuan orang ramai dengan berdiri di atas kontena yang ditunda oleh lori di tempat-tempat terbuka di bandar-bandar dan pekan-pekan di sepanjang perjalanan.

Presiden Pakistan, Arif Alvi menerusi ciapan di Twitter berkata, insiden itu merupakan satu cubaan membunuh.

“Syukur kepada Allah kerana beliau selamat, namun cedera akibat terkena peluru pada kakinya. Saya berharap keadaannya tidak kritikal,” kata Arif. – AFP