Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today
SINTOK: Bagi memberi persepsi baru tentang wakaf, khususnya berkaitan inovasi dan amalan wakaf, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) UUM telah menganjurkan Forum Wakaf Edisi Utara bertajuk ‘Inovasi Wakaf: Potensi dan Realiti’ di Dewan Auditorium SOIS, semalam.
Ketua Bahagian Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), Sheikh Fakhrurrazi Yub dan Imam Masjid Al Bushro Merbok, Mohd Firdaus Mat Akhir telah berkongsi maklumat berkenaan wakaf dalam forum tersebut bersama moderator, Dr. Amirul Haqeem Abd Ghani.
Menurut Sheikh Fakhrurazi, pemberian yang paling baik adalah apa yang kita paling sayang.

Menurutnya, sepertimana kisah seorang sahabat Rasulullah yang dikenali sebagai Abu Thalhah merupakan antara sahabat baginda yang memiliki banyak harta.
AbuThalhah sangat menyayangi kebun kurmanya yang menghadap Masjid Nabawi. Pada ketika turunnya ayat ke 92 Surah Ali Imran yang bermaksud:
“Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebagian harta yang kamu cintai.” (Ali Imran: 92)
Maka, Abu Thalhah hendak menyedekahkan kebun kurma yang paling dicintai tersebut di jalan Allah. Hal ini beliau lakukan dalam rangka untuk meraih kebaikan yang sempurna dan pahala dari Allah. Kebaikan yang mana dapat membawa pelakunya ke syurga.

Demikianlah hendaknya seorang Muslim yang perlu mempunyai tekad yang kuat untuk menyedekahkan harta terbaik dan yang paling dicintai iaitu harta yang berharga dan yang dicintai oleh hawa nafsu.
Seandainya seorang hamba lebih mendahulukan kecintaan Allah dari pada kecintaan terhadap harta, tentu mereka akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapat keredhaan-Nya.
Ujar beliau, walaupun infak harta yang paling dicintai bukan menjadi penanda aras kebajikan seseorang, namun seandainya jika berinfak dengan harta yang terbaik dan yang paling dicintai, tentu hal itu akan lebih sempurna kebajikannya dan lebih jelas bukti kejujuran imannya.
Forum ini telah dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail di mana dalma ucapannya berkata, kerjasama di antara IBS, IPIZ UUM, JAWHAR dan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) perlu diteruskan lagi dengan jayanya agar dapat menyuburkan lagi budaya perkongsian ilmu dengan menganjurkan diskusi ilmiah dan forum agar konsep berwakaf ini tersemai dalam sanubari warga UUM.

Program ini merupakan inisiatif IBS dalam menyemarakkan semangat berwakaf dan berkongsi maklumat terkini berkenaan wakaf kepada staf, pelajar dan seluruh warga UUM.
Hadir sama, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) merangkap Menjalankan Fungsi Dekan IBS, Dr. Zairy Zainol dan Pengarah IPIZ, Dr. Ahmad Khilmy Abdul Rahim. – Dr. Nor Syahidah Ishak