SINTOK: Berjemaah dan bersamalah cemerlangkan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang tercinta ini kerana seperti solat berjemaah yang membawa 27 kali ganda berbanding dengan solat bersendirian.
“Percayalah sekiranya semua warga kampus ini terutama pelajar bersatu hati dalam membangunkan kampus ini dengan pihak pengurusan pastinya satu hari nanti dari tangga kedua UUM di negara ini pastinya akan melonjak di tempat pertama universiti awam di Malaysia dan Asia,” ujar Pengarah Urusan IB Media Consultant Works Sdn. Bhd. Dato’ Izelan Basar di Dewan Mu’adzam Shah, UUM pagi tadi.
Beliau yang dijemput untuk program motivasi bersama pelajar sempena program UUM COB Day ‘Meet and Greet ini turut berkongsi tips mengenai kenali diri, tips kejayaan, keyakinan serta pandangan positif terhadap keupayaan diri, kemahiran komunikasi, pengendalian masalah, keupayaan untuk mengawal emosi seterusnya merancang secara realistik serta melaksanakan rancangan tersebut dengan baik.
Beliau turut memberi pesanan tiada siapa mampu menjaga diri kita sebaik diri kita sendiri. Ini kerana kita sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk diri kita dari segi kehendak, kekuatan serta kelemahan diri.
Oleh itu berusahalah dengan mengambil berat tentang emosi serta keperluan diri dengan melibatkan diri dalam aktiviti yang menyeronokkan serta merehatkan minda.

Kesihatan fizikal juga perlu dititik beratkan. Apabila kita berada dalam keadaan yang baik, maka ia akan membantu kita untuk kuat ketika menghadapi kesukaran.
Belajarlah untuk melihat potensi diri serta positif kerana ramai antara kita yang fokus kepada kekurangan diri. Cuba kenal pasti serta senaraikan kekuatan atau kelebihan diri anda.
“Kita sebenarnya belajar untuk menghadapi masalah dengan lebih baik melalui pengalaman. Kita bukan sahaja boleh belajar dari pengalaman sendiri, tetapi boleh juga belajar melalui pengalaman orang lain tentang bagaimana mereka melepasi saat-saat sukar dalam kehidupan,” sambungnya lagi.
Belajar untuk mengenali diri dengan lebih baik, memperbaiki hubungan dengan orang lain serta meningkatkan kekuatan rohani melalui kesukaran atau ujian yang dihadapi.
Jangan rasa malu. Memang nampak seperti ‘masuk bakul, angkat sendiri’, tetapi ini adalah ‘bakul’ anda dan tiada siapa yang akan angkat jika bukan anda sendiri yang mengangkatnya! Ini akan memupuk keyakinan dalam menyelesaikan masalah nanti.
Sempena majlis itu pihak penganjur turut menyediakan hadiah kepada pelajar bertuah yang menyertainya.
Turut hadir di majlis ini Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah.
