Kita merdeka sudah 65 tahun namun harus diingat merdeka bukan hak mutlak kita, jika tidak dipelihara dengan sebaiknya nescaya negara akan hancur berkecai.
Pelbagai usaha dilakukan kerajaan termasuklah sambutan bulan kemerdekaan bagi memperingati perjuangan generasi terdahulu. Atas jerih payah merekalah kemerdekaan dan pembangunan yang dikecapi hari ini seiring dengan negara lain. Malah rakyat mengecapi kebebasan untuk mengurus pentadbiran negara sendiri setelah dijajah oleh kuasa asing.
Setelah kita berjuang memerangi pandemik COVID-19, negara kini mula kembali menikmati kesejahteraan hidup seperti sebelumnya. Wajarlah sebagai warganegara kita berasa bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat negara yang berdaulat dan merdeka kerana dapat mengecapi kehidupan dalam suasana yang harmonis, aman serta sejahtera.

Dengan nikmat kemerdekaan, rakyat di negara ini hidup kita akan lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalinkan hubungan sekali gus perpaduan kaum.
Walaupun Malaysia tidak lagi dibelenggu penjajah, namun negara sentiasa berdepan dengan cabaran yang datang dari luar yang boleh menggugat keharmonian dan keselamatan.
Oleh itu, wajib rakyat Malaysia mengisi kemerdekaan yang dikecapi dengan berpegang teguh kepada Rukun Negara dan Perlembagaan sebagai asas perpaduan.

Rukun Negara membentuk perpaduan yang kukuh di mana prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara merupakan kunci keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan.
Bagi mencapai matlamat ini, digariskan lima prinsip Rukun Negara yang perlu dihayati setiap lapisan masyarakat antaranya Keluhuran Perlembagaan di mana kita menerima Perlembagaan sebagai sumber undang-undang tertinggi dan perlu mematuhi keluhurannya. Perlembagaan adalah sumber rujukan tertinggi bagi segala hal berkaitan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosioekonomi rakyat.
Perlembagaan dan Rukun Negara menjadi asas penting yang perlu dipertahankan dan sekiranya terdapat cubaan menggugat salah satu daripadanya, segala yang dikecapi negara yang kita cintai selama ini boleh runtuh. Pertahankan acuan yang telah kita tetapkan sendiri, justeru jangan mudah terikut-ikut dengan corak negara luar atau membandingkan Malaysia dengan negara lain.

Cabaran seterusnya adalah dadah yang merupakan musuh utama negara. Permintaan dan penawaran bahan terlarang ini masih tinggi dengan elemen rasuah banyak yang melibatkan anggota penguatkuasa bersekongkol dengan sindiket dadah antarabangsa serta kurangnya kesedaran.
Selain itu, rasuah dan salah guna kuasa umpama anai-anai yang makan dalam jika tidak ditangani segera dalam semua aspek dan dibiarkan berleluasa, maka hancurlah sesebuah negara.

Mengangkat Tema Hari Kebangsaan, ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ adalah selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia yang melambangkan kebersamaan, komited untuk terus maju ke hadapan serta keberadaan teknologi terkini yang menjadi penghubung kehidupan ekonomi rakyat.
Sebagai warganegara, kita seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat negara yang berdaulat dan merdeka kerana kita dapat mengecapi kehidupan dalam suasana yang harmonis, aman serta sejahtera.
Dengan nikmat kemerdekaan, rakyat di negara ini hidup kita akan lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalinkan hubungan sekali gus perpaduan kaum.
Kemerdekaan bermakna menghargai dan menghayati kemerdekaan yang dicapai setelah 65 tahun dengan membebaskan diri daripada hawa nafsu seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di samping pengabdian diri kepada Allah bagi yang beragama Islam.

Justeru, kembalilah pada pegangan agama, ikhlas dan jujur agar tidak tersasar selain terus melakukan kebaikan sekali gus mencontohi suri teladan, Nabi Muhammad SAW, yang sentiasa berbuat baik walaupun dilontar pelbagai kezaliman. Baginda membalas kejahatan dengan kebaikan yang akhirnya Islam tersebar luas di seluruh dunia.

Marilah kita mengorak langkah sederap bersama-sama membangunkan modal insan berlandaskan kejayaan generasi terdahulu dalam memperjuangkan serta memperkukuh nilai kemerdekaan tanah air kita ini.