UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Biasiswa UUM untuk cemerlang STPM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

POKOK SENA – Universiti Utara Malaysia (UUM) sedia menawarkan biasiswa kepada tiga pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) 2021 dari keluarga B40 sekiranya mereka berjaya dalam permohonan kemasukan UPU Online ke universiti ini.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata demikian ketika menyantuni Muhammad Omar Mokhtar Abdul Rahman, Salmah Aminudin dan Nurasyikin Azizan di rumah mereka masing-masing di Kampung Kuala Lanjut dan Kampung Budi, Pokok Sena serta Kampung Sg. Mas, Pendang.

Haim Hilman berkata, beliau gembira dapat menyantuni tiga permata bangsa itu sebagai tanda keprihatinan UUM dengan nasib anak bangsa bagi memastikan mereka terus bersemangat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

“Saya mengingatkan mereka bahawa kemiskinan ini adalah satu proses Allah ‘mentarbiah’ kita untuk menjadi lebih hebat di masa hadapan.

“Malah, sebagai pemangkin semangat kepada mereka juga, UUM sedia menawarkan biasiswa sekiranya tiga pelajar ini memilih untuk belajar di UUM, selain sedia mendengar masalah mereka untuk diperhalusi, seterusnya membantu mencari penyelesaian bagi membantu mereka,” katanya.

Muhammad Omar menunjukkan sijil keputusan cemerlang yang diperolehinya dalam STPM 2021. Shamsaimi Ezil/UUM Today.

Walau bagaimanapun, tambahnya lagi, di mana juga pilihan yang dibuat oleh pelajar-pelajar itu untuk melanjutkan pengajian, UUM akan sentiasa mendoakan yang terbaik.

Menurutnya, beliau yakin dan percaya semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menawarkan tempat kepada mereka adalah IPTA yang terbaik dan hebat, malah boleh membantu mereka mencapai potensi diri.

Pada kunjungan itu juga, Haim Hilman turut menyampaikan sumbangan zakat UUM dan bakul makanan berupa barangan keperluan harian.

Haim Hilman (kanan) menyerahkan bakul makanan kepada keluarga Nurasyikin di Kampung Sg. Mas, Pendang. Shamsaimi Ezil/UUM Today.

Ketiga lepasan STPM itu berjaya memperoleh keputusan dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) 4.00, namun faktor kemiskinan menghalang mereka untuk mengejar cita-cita ke menara gading.

Sementara itu, Muhammad Omar berkata, tawaran yang diterima UUM amat dihargai dan dia akan mempertimbangkan terlebih dahulu selepas mendapat keputusan UPU Online yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Katanya, hal ini kerana minatnya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan dan sedang menanti peluang untuk melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) agar hasrat menjadi seorang pendidik tercapai.

“Di samping itu, masalah yang masih membelenggu saya adalah ketiadaan MyKad yang akan menyukarkan lagi saya untuk menyambung pengajian.

“Jadi, saya gembira apabila UUM tampil mendengar masalah ini dan sekiranya masalah MyKad masih tidak dapat selesai, saya sedia mempertimbangkan tawaran untuk melanjutkan pengajian di UUM,” ujarnya.

Haim Hilman bersama Salmah (kiri) dan neneknya, Aishah ketika menyantuni rumah pelajar itu di Kampung Budi, Pokok Sena. Shamsaimi Ezil/UUM Today.

Bagi Salmah pula, dia turut berterima kasih kepada UUM yang sudi datang ke rumahnya bukan sahaja bagi menyampaikan sumbangan, malah mendengar permasalahan dihadapi.

Meskipun memilih untuk melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM), namun tawaran yang diberikan UUM menerusi Naib Canselor sendiri membuatkan dia terharu dan akan pertimbangkan tawaran tersebut.

Salmah kini tinggal bersama neneknya, Aishah Saad, 82, sejak kematian bapanya, Aminudin Abdul Hamid empat tahun lalu, manakala ibunya, Romlah Tasu, 56, berada di pusat jagaan warga emas di Perak kerana menghidap penyakit skizofrenia.

Selain Muhammad Omar dan Salmah, Naib Canselor turut menyantuni Nurasyikin untuk menyatakan tawaran melanjutkan pengajian di UUM dan penyerahan sumbangan zakat serta bakul makanan.

Nurasyikin (kiri), Salmah dan Muhammad Omar yang merupakan rakan sekelas di SMK Kubor Panjang menjadi pelajar cemerlang STPM 2021 dengan CGPA 4.00. Shamsaimi Ezil/UUM Today.

“Saya berterima kasih kepada UUM kerana sanggup datang jauh ke rumah ini untuk menawarkan tempat di universiti tersebut.

“UUM merupakan pilihan keempat saya bagi melanjutkan pengajian bagi program Pengurusan Sumber Manusia. Sekiranya terpilih, saya berharap dapat mengekalkan prestasi cemerlang sehingga ke menara gading,” katanya yang juga berminat untuk menjadi seorang guru.

Muhammad Omar, Salmah dan Nurasyikin merupakan rakan sekelas yang menjadi pelajar cemerlang STPM 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubor Panjang, Pokok Sena.