UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Bijak hadapi pelajar dengan tingkah laku mencabar

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Kuala Nerang: “Pelajar dengan tingkah laku mencabar biasanya dikaitkan dengan tingkahlaku negatif seperti nakal, mengganggu kawan, mengambil barang kawan, keluar dari kelas ketika waktu belajar dan ponteng.

“Walau bagaimanapun, tingkah laku mencabar juga boleh dikaitkan dengan tingkah laku yang kelihatan seperti positif seperti terlampau banyak bercakap atau bertanya soalan kepada guru sehingga tingkah lakunya mengganggu kelas dan pengajaran guru.”

Demikian perkongsian pensyarah pendidikan khas dari Institut Perguruan Darulaman, Dr. Nazmin Abdullah pada Program perkongsian pengalaman bertajuk “Memahami Pelajar dengan Tingkah Laku Mencabar” di Bilik ICT Sekolah Kebangsaan Toh Puan Sharifah Hanifah, Mukim Padang Temak, Kuala Nerang, baru-baru ini.

Beliau sebagai ahli panel jemputan memberi penekanan tentang kepentingan memahami masalah ini secara menyeluruh untuk memudahkan guru mengendalikan pelajar tersebut.

Nazmin memberi gambaran tentang cabaran yang dihadapi oleh pelajar dengan kecelaruan perkembangan saraf dan keperluan mereka dalam pembelajaran selain teknik yang dapat digunakan oleh guru untuk mengendalikan pelajar ini.

“Program ini menyasarkan guru-guru di aliran perdana terutamanya mereka yang mengendalikan pelajar di sekolah rendah dan menekankan kepentingan agar mereka lebih peka terhadap keadaan pelajar tipikal dan berkeperluan khas yang berpotensi untuk dibantu lebih awal. Cara mengendalikan mereka adalah berbeza bergantung kepada setiap kes,” ujarnya. 

Sementara itu, pengarah program, Dr. Yusniza Mohd Yusoff yang juga penyelidik psikolinguistik dalam bidang bahasa dan autisme memberi pengenalan tentang masalah psikologi pada pelajar tipikal, dan kecelaruan perkembangan saraf (‘neurodevelopmental disorders’) pada kanak-kanak.

Yusniza yang juga yang juga Guru Bahasa Kanan dari Unit Bahasa Inggeris, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun Dan Falsafah (SLCP) berkata, terdapat dua kategori pelajar dengan tingkah laku mencabar ini iaitu pelajar tipikal dan juga pelajar berkeperluan khas.

“Pelajar dengan tingkah laku mencabar berkemungkinan adalah mereka yang mengalami kecelaruan perkembangan saraf seperti autisme, disleksia atau ‘Attention Deficit Hyperactive Disorder’ (ADHD).

“Kumpulan pelajar ini yang mampu mengikuti pembelajaran wajar diberikan sokongan oleh pihak sekolah untuk berada di aliran perdana,” katanya pada program anjuran Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat (JIM), SLCP.

ADHD atau Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif adalah satu kecelaruan tingkah laku yang biasa terjadi di kalangan kanak-kanak membabitkan tiga jenis keadaan iaitu kurang daya tumpuan, hiperaktif dan impulsif. 

“Bukan hanya kanak-kanak berkeperluan khas sahaja yang boleh menunjukkan tingkah laku yang mencabar, tetapi kanak-kanak tipikal juga boleh mempamerkan tingkah laku seperti ini.

“Bagi pelajar tipikal, tingkah laku mencabar mungkin berlaku disebabkan perlakuan normal kanak-kanak yang boleh ditangani oleh guru apabila puncanya dapat dikenal pasti, mungkin juga disebabkan masalah psikologi yang mungkin perlu dirujuk kepada doktor atau pakar perubatan,” kongsinya yang juga mempunyai anak autisme yang belajar di aliran perdana.

Justeru katanya, untuk menangani pelajar ini memerlukan kesedaran, pemahaman dan penerimaan guru dan sekolah.

“Jika pelajar yang berkelakuan mencabar ini adalah pelajar yang mempunyai kecelaruan perkembangan saraf contohnya autisme, ADHD atau disleksia, fizikal mereka adalah seperti kanak-kanak tipikal, justeru guru perlu peka dengan kelainan yang ada dan menyarankan kepada ibu bapa agar pelajar dapat dirujuk kepada pegawai perubatan atau pakar untuk mendapat intervensi secepat yang mungkin,” ujarnya.

Menurutnya, program sehari ini bertujuan untuk memberi pemahaman kepada guru dan staf sekolah tentang pelajar yang berkelakuan mencabar, termasuk pelajar tipikal yang mempunyai masalah psikologi dan pelajar dengan kecelaruan perkembangan saraf dan cara-cara menguruskan mereka di dalam bilik darjah.

Beliau berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran ibu bapa, guru dan orang awam terhadap anak-anak yang mempunyai tingkah laku mencabar.