UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Bila harta pusaka jadi rebutan, putus silaturahim

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Gambar: istockphoto

Apa jadi kalau tidak merancang harta? boleh jadi putus silaturahim, harta terbeku, jadi rebutan hingga mencetuskan pergaduhan, jika terjadi hal-hal sebegini tentulah harta yang sepatutnya menjadi nikmat pada kita bertukar menjadi bala. Jadi, jika sayang anak dan isteri maka rancanglah pengurusan harta sejak awal ketika masih hidup.

Sejak kebelakangan ini ramai yang mati mengejut lebih kasihan kepada anak isteri, atau orang yang ditinggalkan apabila harta menjadi rebutan dan tidak mendapat hak yang sepatutnya.

Bayangkan apabila suami sebagai ketua keluarga meninggal dunia tanpa membuat persediaan dari segi pengurusan harta pasti menyukarkan waris yang masih hidup, lebih malang berlakunya perebutan harta di kalangan ahli keluarga.

Apabila suami meninggal dunia, rumah atas nama suami perlu dibahagikan mengikut faraid. Jika suami tiada ayah/ tiada anak lelaki/ hanya anak perempuan sahaja, maka warisnya ialah isteri, ibu serta adik beradik suami.

Jika rumah berharga RM300,000 pembahagian dibuat, 1/4 milik isteri (jika tiada anak) @ 1/8 (jika ada anak) manakala baki harta adalah milik adik beradik suami. Jika mereka setuju lepaskan semua hak kepada isteri proses akan mudah tetapi jika   menuntut hak berupa wang ringgit dan bahagian setiap mereka RM100,000,  bimbang-bimbang rumah yang dibina sekian lama pun  turut dijual.

Situasi ini amat memerlukan semua orang merancang harta semasa hidup bagi memudahkan pengurusan harta pusaka setelah berlakunya kematian.

Ramai yang mengalaminya tetapi masih ramai tidak mengambil iktibar dan tidak peduli tentang perancangan harta sebelum mati.

Bila disuruh buat wasiat, hibah katanya, bukannya nak mati lagi, lebih sinikal, kita yang bertanya pula dianggap mata duitan atau tamak harta.

Ramai yang anggap perkara ini tidak penting sedangkan perkara ini dapat memudahkan ahli keluarga agar bila sampai ajal, anak isteri dan keluarga yang ditinggalkan boleh melaksanakan amanah agar warisan keluarga terjaga dan terselamat dari termakan harta yang tidak sepatutnya.  

Bila menyebut tentang wasiat dan hibah atau merancang harta, ramai yang mengambil mudah sehingga timbul persepsi rancang harta hanya untuk orang kaya-kaya.

Tidak. Sebenarnya merancang harta penting kepada semua orang tidak mengira sama ada harta sikit atau banyak demi melindungi kebajikan keluarga jika sesuatu berlaku kepada kita.   

Perkara utama yang perlu diambil tindakan sebelum seseorang meninggal dunia iaitu melantik wasi (seseorang yang diamanahkan pelaksanaan sesuatu wasiat orang yang telah mati), membuat dokumen bertulis, menyediakan dana pantas dan menyediakan khidmat pakar kepada waris.

Jadi, jika sayang keluarga maka rancanglah pengurusan harta sejak awal. Rancang harta bermaksud merancang aliran harta semasa hidup dan selepas kita meninggal dunia.

Bila membuat perancangan kita dapat menentukan perjalanan harta misalnya kepada siapa patut diberikan dan pembahagian mesti sah dari segi undang-undang sivil dan syariah.

Jika berlaku kematian, selesai proses pengebumian dan melangsaikan hutang si mati, waris perlu menjalani proses perolehan kuasa, pentadbiran dan pembahagian kepada waris yang layak

Beberapa cara merancang harta dengan menggunakan instrumen seperti wasiat, hibah, wakaf ataupun zakat.

Golongan yang signifikan untuk membuat wasiat atau hibah seperti suami isteri yang membeli rumah menggunakan dua nama, pasangan yang mempunyai anak perempuan sahaja dan mereka yang belum berkahwin.