UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Bina kerjaya dalam industri perbukuan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Dr. Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail/UUM Today

SINTOK, 17 Januari – Ilmu dan teori yang dipelajari tidak lengkap tanpa sandaran amali mahupun praktis. Demi memastikan wujudnya penyatuan antara kedua-dua aspek ini, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan satu Bengkel Pengurusan dan Pemasaran Karya Kreatif di Dewan Pusat Pengajian Pendidikan (SoE) pada Khamis lalu.

Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Dr. Maizatul Azura Yahya berkata, bengkel bermatlamat untuk menyiapsiagakan pelajar UUM dengan alam pekerjaan, khususnya industri penerbitan.

Menurutnya, program yang padat dengan pendedahan tentang dunia penterjemahan dan penerbitan karya kreatif itu dihadiri oleh warga akademik, pelajar program ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif (BCLCIM) serta pelajar program Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat (pakej Terjemahan) (BLIT).

“Bengkel ini sangat bermanfaat kepada pelajar kerana ia membolehkan pelajar mendapat pemahaman yang lebih jelas dan mendalam tentang dunia penerbitan.

“Perkongsian ini lebih bermakna kerana ia disampaikan secara langsung oleh saudara Kiridaren dan The Biblio Press itu sendiri merupakan satu jenama penerbitan yang terkenal dalam industri penterjemahan karya kreatif kontemporari di Malaysia,” katanya.

Penatar bengkel, Kiridaren Jayakumar, yang merupakan pemilik syarikat penerbitan The Biblio Press telah berkongsi pengalaman beliau membuka syarikat penerbitannya, bermula daripada perniagaan kecil-kecilan di rumah pada tahun 2018 sehingga syarikatnya dapat beroperasi di Menara Mutiara Majestic, Petaling Jaya.

Menurutnya, kunjungannya ke Indonesia pada tahun 2019 telah membuka matanya tentang keperluan untuk menambah dan memperbanyak karya terjemahan, khususnya karya agung dunia, dalam usaha untuk memandaikan khalayak pembaca tanah air.

Moto syarikat The Biblio Press, iaitu “Merakyatkan Karya Agung” terpancar dalam hasil penerbitan syarikat ini dan sehingga Januari 2024, syarikat The Bibilo Press telah menerbitkan sejumlah 93 buah buku dengan 65 judul terdiri daripada karya terjemahan sastera dan karya bukan fiksyen.

“Seni dalam Peperangan” karya Sun Tzu merupakan karya terjemahan pertama yang diusahakan oleh syarikat The Biblio Press dan karya ini telah diulang cetak berkali-kali.

Dalam bengkel ini juga, Kiridaren menggariskan beberapa proses yang perlu dilalui oleh penerbit sebelum sesuatu karya terjemahan dapat diterbitkan dan dipasarkan. Antara sumber perolehan karya yang banyak membantu syarikat The Biblio Press mendapatkan judul karya yang baik ialah pesta buku antarabangsa, seperti Pesta Buku Antarabangsa di Frankfurt, Bologna, Kaherah, Seoul dan Chennai.

Selain belajar tentang cara perolehan bahan, peserta juga didedahkan tentang perbezaan antara editor kanan, editor perolehan, editor pengurusan, pengurus penerbitan dengan pengurus hak.

Menurut Kiridaren, dunia penerbitan hari ini sangat getir mencabar dan syarikat penerbitan perlu giat dan kreatif dalam menggunakan pelbagai media sosial yang ada untuk memastikan khalayak di luar mengenali buku yang berada di pasaran.

Pada akhir bengkel, Kiridaren mengingatkan peserta untuk terus memupuk minat membaca karya besar dunia kerana pembacaan teks sebegini sudah tentu dapat membantu peserta menghasilkan karya yang hebat.

Salah seorang peserta bengkel, Nurul NurHalilah Abdul Rahman berkata, bengkel ini bukan sahaja menambah pengetahuan tentang industri perbukuan, bahkan dapat membina jaringan dengan pihak syarikat penerbitan serta mengintai peluang pekerjaan. – Dr. Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail