UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Bingkisan Aidilfitri tanda ingatan tulus ikhlas

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) amat menghargai pengorbanan staf yang sanggup bertugas pada hari raya untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan universiti sentiasa terpelihara sekali gus memberi peluang kepada staf lain untuk bercuti menyambut 1 Syawal yang mulia.  

Untuk itu, kira-kira 300 staf diraikan pada Majlis Penyampaian Bingkisan Aidilfitri Sempena Hari Raya Aidifitri 1444H, Foyer Bangunan Canselori, Sultan Sallehuddin UUM, pagi tadi.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, seramai 112 staf akan bertugas semasa Aidilfitri yang terdiri daripada 64 staf Jabatan Keselamatan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan universiti sentiasa terpelihara, 18 staf EDC-UUM, 22 staf Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP), 2 staf Pusat Islam, 4 staf Pusat Kesihatan Universiti dan seorang dari UUMIT.   

Katanya, mereka berkorban masa beraya bersama keluarga dan sememangnya pengorbanan ini amat besar nilainya yang merupakan amalan yang sangat mulia berbakti dengan penuh keikhlasan.   

“Justeru saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada staf yang akan bertugas pada Hari Raya Aidilfitri ini, tidak dilupakan juga staf sokongan yang terdiri daripada 51 Pembantu Operasi dan 113 Pembantu Awam.

“Mereka merupakan tulang belakang dalam memastikan setiap operasi di universiti berjalan lancar. Mereka amat cekap, efisien dan tidak pernah mengeluh selain tidak pernah mengenal hujan panas dalam menjalankan tugasan yang diamanahkan.

Budaya kerja sebegini katanya, bukan sahaja mencerminkan identiti yang cemerlang malahan meningkatkan keyakinan semua pihak terhadap prestasi kerja warga UUM.

“Bagi memastikan semua pihak bergembira di hari lebaran nanti, pihak universiti juga turut menghulurkan sumbangan kasih Ramadan kepada 17 staf yang mempunyai anak yang sakit kronik dan kelainan upaya (OKU). Diharapkan sumbangan daripada   ini dapat mengukir senyuman pada anak-anak kita.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat meneruskan ibadah puasa dan ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” ujarnya.     

Sementara itu, Pembantu Operasi, Jabatan Pendaftar, Mohd Fauzi Ismail amat berbesar hati pada masa yang sama cukup terharu menerima bingkisan raya yang dianggap satu penghargaan buat dirinya dan rakan-rakan.

“Alhamdulillah, rasa bersyukur atas ingatan tulus ikhlas daripada pihak universiti di samping dapat berkumpul bersama rakan dan pihak pengurusan.

“Hari Raya Aidilfitri lebih bermakna dengan pemberian ini dan majlis sebegini amat baik dan wajar diteruskan setiap tahun bagi menghargai staf bawahan,” ujarnya.