ALOR SETAR: Seramai 649 warga Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin, Hutan Kampong, Alor Star bergotong-royong menyediakan Bubur Asyura Keluarga Malaysia semalam.
Pengetuanya Rosleesham Saad berkata, 547 pelajar, 102 orang guru, staf sokongan dan pekerja am dari kaum Melayu, Cina dan India bersama-sama gotong-royong menyediakan bubur dari resepi turun temurun Kampung Pantai Jamai, Langgar.

“Saya melihat kerjasama dan kemuafakatan dalam kalangan pelajar, guru, staf dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ini bukan sahaja dapat menyediakan 350 bungkusan bubur tapi yang paling penting sikap kerjasama dan semangat kekeluargaan yang ditunjukkan,” ujar beliau ketika ditemui.

Sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia 2022 yang bermula pada 2 hingga 4 September 2022 ini, kolej ini turut terpilih sebagai lokasi program “outreach” bagi Universiti Utara Malaysia (UUM).
Unit komunikasi Korporat UUM akan menganjurkan Bengkel Fotografi dan Kewartawanan kepada 200 pelajar dan guru di kolej berkenaan pada 3 September ini.
