Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today
SINTOK: “Saya ingat Skim Takaful Berkelompok MKSK hanya boleh dituntut apabila berlaku kematian, tidak sangka ia turut melindungi pencarum jika ditimpa penyakit kritikal,” ujar Ir. Radzaini Abdullah, Jurutera di Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan.
Beliau menerima cek manfaat skim tersebut bernilai RM80,000 bagi isterinya, Norshakili Sulaiman, 51, guru di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok yang menghidap penyakit hipertiroid iaitu sejenis penyakit yang disebabkan oleh kelenjar tiroid yang terlalu aktif.

Radzaini berkata, beliau bersyukur kerana tuntutannya diluluskan walaupun berlaku kelewatan di pihaknya yang sangka tuntutan hanya boleh dibuat apabila berlaku kematian sahaja.
“Tidak sia-sia saya mencarum setiap bulan sebanyak RM40 untuk kami suami isteri. Siapa boleh menjangkakan isteri saya akan disahkan menghidap penyakit itu pada 2021 dan mula dimasukkan ke wad pada tahun lalu.
“Bagaimanapun, isteri saya sudah mula kembali bertugas dan kini hanya perlu perlu menjalani pemeriksaan setiap enam bulan sekali sahaja di Kedah Medical Centre (KMC),” katanya.
Radzaini bersyukur dan berterima kasih kepada Takaful Ikhlas, pengurusan UUM, Jabatan Pendaftar dan MKSK atas penyerahan cek manfaat skim tersebut.
Tambahnya, manfaat yang diterima itu sedikit sebanyak dapat meringankan kos rawatan isterinya dari semasa ke semasa.
Pada masa sama, beliau turut menyaran agar mana-mana staf UUM yang tidak memiliki sebarang caruman insuran atau skim perlindungan lagi agar menyertai Skim Takaful Berkelompok MKSK kerana ia bukan sahaja memberi perlindungan kepada waris jika pencarum meninggal dunia, malah menghidap penyakit kritikal mahupun ditimpa musibah.

Penyerahan replika cek telah disampaikan Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan dan disaksikan Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, pagi tadi.
Untuk rekod, sehingga Julai 2023, jumlah penyertaan staf dan ahli keluarga yang mencarum Skim Takaful Berkelompok MKSK adalah 1,840 orang dan jumlah tuntutan manfaat yang telah diterima adalah sebanyak RM299,320.