UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

CEO Bursa Malaysia kongsi kisah kejayaan

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok: Dalam landskap perniagaan dan industri yang bergerak pantas, faktor kepimpinan yang berkesan memainkan peranan penting dalam membimbing organisasi melalui cabaran dan mendorong ke arah pencapaian baru.

Berucap pada CEO Talk: Reflections On Leadership and Success bersempena program SEFB’s Vision For The Future: 40 Years Of UUM Excellence semalam, Ketua Pegawai Eksekuti Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkongsi pengalaman berharga yang menyumbang kepada kejayaan organisasi.

Antaranya strategi, cabaran dan prinsip yang menetapkan penanda aras untuk kecemerlangan kepimpinan korporat.

“Dalam kehidupan, semestinya kita selalu berada dalam situasi perlu membuat keputusan. Jadi kita tidak akan lari daripada membuat keputusan yang salah.

“Sebenarnya, tidak ada salahnya jika tersilap membuat keputusan kerana itu sebahagian daripada perjalanan hidup kita, jadi terima kesalahan dengan memperbaiki diri sendiri dan terus bergerak ke hadapan untuk mencipta kejayaan,” ujarnya pada program anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan, dan Perbankan (SEFB).

Malah, beliau turut menggalakkan para hadirin untuk membuat keputusan yang akan menjadikan mereka lebih kritikal dalam membuat keputusan pada masa hadapan.

Jelasnya, kepimpinan merujuk kepada seseorang yang berautoriti yang boleh memberi pengaruh kepada orang lain dalam organisasi.

“Dalam erti kata lain seseorang yang memberi arahan dan diikuti oleh staf justeru, kemahiran memimpin amat penting dalam membawa oraganisasi untuk mencipta kejayaan dalam jangka masa panjang.

“Bila dapat sesuatu kerja buat yang terbaik, ikut gerak hati dan kita mesti membuat perancangan tentang apa yang akan dilakukan supaya lebih berstuktur serta lebih mudah untuk mencapai sasaran yang ditetapkan,” ujarnya di hadapan 400 pelajar.

Datuk Umar Swift mempunyai pengalaman lebih 32 tahun dalam sektor perkhidmatan kewangan dan perbankan, berpesan supaya melakukan kerja dengan sepenuh hati dan menjiwai tugas yang dilakukan.

Mengulas lanjut, perkara yang memberi kebahagiaan dalam hidupnya apabila dapat melakukan sesuatu yang memberi kebaikan kepada orang lain sekali gus mengukir senyuman.

Melalui sesi perkongsian yang memberi inspirasi ini, pelajar dapat meneroka semangat kepimpinan, prinsip yang membentuk mereka membuat keputusan, pengajaran yang dipelajari dan visi yang mendorong ke hadapan serta mendapat pandangan yang berharga yang boleh diaplikasikan dalam perjalanan menuju kejayaan.

Bursa Malaysia mencapai pelbagai pencapaian dan pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Semua ini dapat dicapai dengan komitmen dan dedikasi penuh daripada pemimpin hebat yang menumpukan masa mereka untuk menangani keperluan organisasi untuk berjaya.

Di dalam majlis tersebut juga, Datuk Umar Swift turut menyampaikan mock cek berjumlah RM84,000 kepada 10 orang pelajar SEFB. Sumbangan ini sebagai satu bentuk bantuan kewangan dari Bursa Malaysia untuk membantu pelajar membiayai kos pengajian mereka sekali gus menyuntik semangat pelajar untuk terus cemerlang.